Sudah tujuh tahun berada di pasaran, terdapat pelbagai edisi terhad untuk Jeep Renegade. Adakah ia salah satu strategi untuk memastikan ia kekal relevan di kalangan para peminat Jeep dan dalam masa sama memberi persaingan yang sihat di pasaran. Setakat ini, beberapa model telah dikeluarkan seperti Bronze Edition di Mexico dan Islander untuk pasaran Amerika Syarikat.
Kini, tiba giliran Itali dengan versi yang lebih bergaya. Mengikut jejak langkah Renegade Hyper yang dilancarkan pada tahun 2018 untuk meraikan filem Avenger : Infinity War, sekali lagi Jeep berganding bahu dengan Marvel Studios untuk sebuah model subcompact crossover yang digelar Renegade Impulse.
Dilengkapi dengan lencana Loki di pintu belakang sebagai menandakan bulan pelancaran siri Loki di Disney+ yang sudahpun ditayangkan buat kali pertama pada 9 Jun lalu. Siri ini mengandungi 6 episod untuk pusingan pertama.
Berasaskan trim terhad premium tinggi yang menawarkan samada enjin diesel turbo 130hp atau model 4xe dengan 190hp powertrain hybrid plug in. Kepada yang meminati AWD, anda perlu mendapatkan versi elektrik kerana varian kuasa multijet ini didatangkan secara eksklusif dengan layout FWD.
Renegade Impulse Loki ini dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik seperti sistem keyless (tanpa kunci), cermin pandang belakang lipat elektrik dan juga laci kargo di bawah tempat duduk penumpang bahagian depan. Selain itu ia dipasangkan dengan roda 18-inci dan kabin yang dilengkapi dengan skrin sesentuh 7-inci dan kawalan klimat dwi-zon.
Sumber : Motor1 / Jeep