Selepas kurang berpuas hati dengan penampilan sebelum ini, Nim telah merombak semula persembahan keretanya dengan gaya lebih menarik. Lama juga dia pikir acaner nak buat, sebelum memilih setup laksana jantan jalanan ini. Siap stiker camo digital rela lagi. Eh! arctic lagi. Baru macam nak pegi perang.
Lancer Evolution IX ini menerima penambahbaikan dari semua segi, khususnya di bahagian enjin. Walaupun sudah dibekalkan dengan enjin 4G63T paling maju, ia telah dirombak semula untuk penghasilan kuasa lebih padu. Bermula dengan penempatan crankshaft 2.2-liter Power Enterprise, ia kemudian disatukan dengan set piston Wiseco, conrod Manley, juga galas enjin dari King Bearing. Bahagian kepala silinder dengan injap pemasa MIVEC turut ditambah baik, menerusi pemasangan camshaft GSC Power Division S2, set injap Ferrea, sebelum kadar pemasaan dilaras menggunakan sepasang cam gear dari Toda.
Sistem pendesak dulu telah disisihkan dan diganti dengan unit Precision Turbo PT6466 Gen2 yang lebih kepala gajah. Menariknya, kedudukan turbo ini sengaja dihunus keluar pada manifold turbo kustom, yang turut memegang wastegate Turbosmart HyperGate 45. Sejukan boost dibantu intercooler penuh bumper AMS. Ia dihubungkan ke throttle body Super90 pada manifold kemasukan AMS, menerusi lingkaran paip sambungan rekaan Titanium Lab. Jumlah boost diperlukan, seterusnya dikawal oleh unit pengawal boost GReddy Profec B, manakala lebihan boost yang tidak digunakan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas Turbosmart RacePort.
Peningkatan seberat ini memerlukan bekalan bahan api yang mencukupi. Menggunakan pam petrol Walbro 450lph, ia akan dihantar ke sebuah tangki surge yang mengandungi dua lagi pam petrol Elixir 500lph, sebelum dibawa ke rel bahan api Sard. Suntikan ke kebuk pembakaran diserahkan kepada set injektor Sard 1600. Manakala proses balikan dan kawalan tekanan diselia oleh unit regulator Sard.
Pemasangan kit suntikan water-methanol AEM merupakan satu lagi komponen penggalak kuasa pada kereta ini. Ia bukan saja membantu mengurangkan suhu enjin, tapi turut menghalang situasi letusan pra matang ketika boost tinggi. Kuasa letusan diubah mengikut kaedah lama, hasil penggunaan unit CDI Autronic dan kabel pencucuh NGK R09. Sementara kerja-kerja talaan, dibantu unit pengurusan enjin Link G4 Extreme.
Selain penampilan acah soja benua artik, gaya luaran turut ditambah komponen gentian karbon di bahagian tertentu. Antaranya hood versi Gialla, sirip vortex, spoiler itek, juga diffuser Varis pada bumper belakang. Turut digunakan lip depan kustom, cermin sisi Ganador, serta lampu belakang versi LED.
Sektor pengendalian telah dipertingkatkan dengan set suspensi Tein Super Circuit. Bagi menjamin kuasa hentian yang sempurna, keseluruhan sistem brek telah dinaik taraf menggunakan kaliper Brembo 6-pot untuk depan dan 4-pot di bahagian belakang. Selari dengan penampilan barunya, bahagian roda menerima rim 18-inci Rays Gram Lights serta set tayar Hankook Ventus RS4 berukuran 265/35ZR-18.
Bahagian dalam tak banyak berubah, kecuali kehadiran set halfcage Kansai pada ruang belakangnya. Mana-mana panel yang mudah dibuka, telah digantikan dengan panel gentian karbon. Kemudian ada meter tambahan Defi Advance, unit paparan Defi ZD, serta tombol gear dari AMS.
Amacam, agak-agak puas hati tak? Tapi kalau namanya Nim, rasanya tak lama mana. Tengoklah nanti, mesti ada perancangan lain yang akan difikirkan selepas ini…
SPESIFIKASI
- Nama – Muhammad Tasnim (Nim 199)
- Pengeluar – Mitsubishi
- Model – Lancer Evolution IX
- Tahun – 2005
- Enjin Asal – 4G63T MIVEC
- Modifikasi Enjin – Crankshaft 2.2-liter Power Enterprise, piston Wiseco, conrod Manley, galas enjin King Bearing, camshaft GSC Power Division S2, injap Ferrea, cam gear Toda, cagak enjin Torque Solution, manifold turbo kustom, Precision Turbo PT6466 Gen2, wastegate Turbosmart HyperGate 45, intercooler AMS, paip sambungan Titanium Lab, injap pelepas Turbosmart RacePort, pengawal boost GReddy Profec B, throttle body Super90, manifold kemasukan AMS, pam petrol Walbro 450lph, pam petrol Elixir 500lph, tangki surge kustom, rel bahan api Sard, injektor Sard 1600, regulator Sard, kit suntikan water-methanol AEM, CDI Autronic, kabel pencucuh NGK R09, ECU Link G4 Extreme, radiator aloi kustom
- Transmisi – Kotak gear Manual 6-kelajuan, set klac triple plate Exedy Hyper
- Ekzos – Titanium Lab
- Luaran – Balutan stiker camo digital arctic, hood Gialla, sirip vortex,
spoiler & diffuser Varis gentian karbon, lip depan kustom, cermin sisi Ganador, lampu belakang LED - Suspensi – Tein Super Circuit
- Brek – Brembo 6-pot (depan) & 4-pot (belakang)
- Rim & Tayar – Rays Gram Lights 18-inci & Hankook Ventus RS4 265/35ZR-18
- Dalaman – Halfcage Kansai, panel gentian karbon, meter Defi Advance, paparan Defi ZD, tombol gear dari AMS
- Bengkel – 199 Garage