Sebanyak lebih 80,200 unit telah terjual sepanjang tahun 2022, Honda Malaysia sekali lagi berjaya mencapai sasaran jualan iaitu sebanyak 80,000 unit. Syarikat tersebut juga menyaksikan peningkatan 51% berbanding jualan keseluruhan tahun 2021.Pencapaian cemerlang ini turut membolehkan Honda Malaysia kekal sebagai pengeluar kereta No. 1 Bukan Nasional untuk sembilan tahun berturut-turut sejak tahun 2014 dan Mac mencatatkan jualan tertinggi dengan jualan sebanyak 10,500 unit.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, En. Hironobu Yoshimura mengatakan bahawa tahun 2022 merupakan tahun yang mencabar di mana kekurangan bekalan cip secara global diikuti bencana banjir yang memberikan kesan terhadap pengeluaran kereta. Honda Malaysia meningkatkan lagi strategi pada tahun 2022 dan berjaya mengatasi sasaran jualan dengan sokongan para pemegang saham.
Honda Malaysia meluahkan penghargaan khususnya kepada para pelanggan serta wakil-wakil pengedar yang tidak pernah jemu memberi sokongan terhadap jenama Honda. Begitu juga dengan bantuan yang disediakan kerajaan Malaysia dengan lanjutan pengecualian cukai jualan. Honda sangat menghargai para pelanggannya dan ingin terus memberikan perkhidmatan yang mampu memenuhi kepuasan hati mereka terutamanya kepada mereka yang menempah kereta semasa tempoh pengecualian cukai jualan tempoh hari.
Bagi makluman, prestasi jualan sepanjang tahun 2022 ini datangnya dari pelancaran Civic yang diadakan pada bulan Januari tahun lalu. Meningkatkan lagi keterujaan dalam pasaran, Honda Malaysia sekali lagi melancarkan model lain pula iaitu HR-V pada bulan Julai yang telah mempertingkatkan satu tahap lebih tinggi untuk segmen SUV Kompak sekali gus menjadi salah satu model yang menyumbangkan jualan tertinggi. Ini diikuti pula dengan pelancaran Civic e:HEV RS pada bulan November dan menerima sambutan sangat mengujakan dari pasaran.Kereta Honda paling laris dalam tahun 2022 datangnya dari model segmen-B, City yang menyumbangkan sebanyak 36% untuk jualan keseluruhan syarikat. Selain itu, City Hatchback dan HR-V tersenarai dalam tiga paling laris dengan jualan keseluruhan masing-masing pada 20% dan 14%. Bagi jualan mengikut kawasan pula, bahagian pusat mencatatkan sumbangan tertinggi iaitu 51%, diikuti bahagian Selatan dan Utara masing-masing dengan 19% dan 17%.