Umumnya, generasi pertama Persona ditawarkan dengan pakej yang sangat memadai untuk sebuah sedan keluarga. Ruang dalaman dan boot yang luas, ciri keselamatan yang baik, sistem gantungan yang selesa, termasuk enjin Campro yang agak memadai. Hampir 9 tahun lamanya ia bertahan dalam pasaran, sebelum digantikan dengan model Persona terkini.
Enjin CamPro yang agak memadai tu, tentunya tidak dibina untuk mereka yang kaki tekan. Bukan tak boleh cecah satulapan, cuma letih jugaklah tengok cara peginya. Macam-macam usaha telah dilakukan, namun hasil akhirnya tetap kurang memberangsangkan. Kalau ada cadangan nak tukar selera, barisan enjin Mitsubishi boleh dijadikan sandaran. Yang masuk enjin Evo VII pun ada. Tapi Chan ada idea lebih liar dan songsang dari itu. Tanpa banyak kerenah, disumbatnya dengan enjin keluaran Honda sebagai jalan penyelesaian!
Asasnya menggunakan enjin K20A dari Integra DC5 Type S. Kapasiti enjin ini kemudian telah dipertingkatkan, menerusi padanan blok K24A dari Odyssey Absolute. Walaupun masih memerlukan cagak enjin Hasport, sambungan ke lubang skru asal perlu menggunakan kit breket enjin rekaan khas. Memastikan penampilannya kemas dan teratur, gumpalan wayar yang kelihatan telah disorok sebaik mungkin, termasuk menanggalkan komponen kurang perlu.
Suapan udara dibawa masuk menerusi penapis udara Simota pada ram udara kustom. Ia akan melalui throttle body Works Engineering yang melekat kemas pada manifold kemasukan Skunk2 Pro Series. Hantaran bahan api kemudian dibawa ke rel bahan api K-Tuned, dengan tambahan regulator Tomei untuk melaras kadar tekanan. Membolehkan enjin ini bekerja di tahap optimum, proses talaan menggunakan unit ECU Hondata KPro.
Sistem transmisi mengguna semula kotak gear manual Integra DC5. Memastikan hantaran kuasa yang jitu ke bahagian roda, ia kini dilapik set klac Ogura Racing. Rombakan terakhir melibatkan keseluruhan sistem ekzosnya, yang perlu dibina semula secara kustom.
Persona generasi pertama memiliki rupa paras yang sangat sopan. Semuanya terletak elok dengan perkadaran badan yang agak seimbang. Atas alasan tersebut, Chan terus mengekalkan kit badan Elegance yang terpasang pada kereta ini. Tambahan dibuat hanya melibatkan pemasangan gril depan Gen2, unit splitter kustom, serta hood jenis gentian karbon.
Pelengkap kepada sudut luaran adalah persembahan di bahagian rodanya. Mempertaruhkan rim WedsSport TC105N berukuran 17-inci, ia dipadankan dengar tayar berbeza untuk depan dan belakang. Takde stok agaknya. Yang depan pakai Nexen Nfera bersaiz 225/45R-17, manakala belakang menggunakan Michelin PS4 dari saiz 215/45R-17.
Di sebalik rim tersebut, terpampang jelas kit Brembo Evo VII berwarna kuning sebagai kuasa hentian. Komponen belakang bagaimanapun masih menggunakan brek drum asal. Bagi membetulkan semula sektor pengendalian, sistem gantungan diganti dengan set suspensi boleh laras Blox FS Type.
Seperti enjin, ruang kokpit juga dibuat dengan ilham kelajuan. Paling jelas, kehadiran set rollcage lengkap yang dibina secara kustom. Tempat duduk depan menerima Bride Zeta III dan Bride Low Max, manakala tempat duduk belakang telah disisih sepenuhnya. Hamparan papan pemuka masih kekal asal, sebelum dihiasi stereng OMP, hub stereng NRG, serta deretan meter Defi.
Soalan yang mungkin ditanya, bikin gini boleh ke lulus? Jawapan mudah, dah tentulah tidak. Ia lebih kepada usaha eksperimental, untuk mencari kelainan dan kepuasan. Bila tiba masanya, ia mungkin akan dirombak atau disalin pada rangka sepatutnya…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Chan Qi An
- Pengeluar – Proton
- Model – Persona
- Tahun – 2010
- Enjin asal – CamPro S4PH
- Modifikasi Enjin – K20A Integra DC5 Type S, blok K24A Odyssey Absolute, cagak enjin Hasport, kit breket enjin kustom, penapis udara Simota, ram udara kustom, throttle body Works Engineering, manifold kemasukan Skunk2 Pro Series, rel bahan api K-Tuned, regulator Tomei, ECU Hondata KPro, tangki simpanan Sard, radiator aloi Sard
- Transmisi – Kotak gear manual Integra DC5, set klac Ogura Racing
- Ekzos – Kustom
- Luaran – Kit badan Persona Elegance, gril depan Gen2, splitter kustom, hood gentian karbon
- Suspensi – Blox FS Type
- Brek – Brembo Evo VII (depan)
- Rim & Tayar – WedsSport TC105N 17-inci & Nexen Nfera 225/45R-17 (depan), Michelin PS4 215/45R-17 (belakang)
- Dalaman – Set rollcage kustom, tempat duduk depan Bride Zeta III & Bride Low Max, stereng OMP, hub stereng NRG, meter Defi, cermin belakang Zoom Engineering
- Bengkel – XH Racing, Heng Heng Exhaust