Enjin 3 Silinder Supercaj Ferrari
Bila sebut sahaja Ferrari orang akan bayangkan enjin yang digunakan oleh jenama kuda meloncat ini pasti akan menggunakan enjin paling canggih dengan konfigurasi 12 silinder, 10 silinder dan paling koman pun 8 silinder susunan V. Bagi memenuhi standard pencemaran asap serta menghasilkan kuasa yang diperlukan, Ferrari mula menghasilkan enjin dengan bantuan kuasa turbo serta teknologi hibrid.
Perintis teknologi enjin Ferrari hari ini adalah sebuah enjin 1500cc V12 (sama saiz dengan enjin Myvi) yang dipasang pada model 125S yang menggunakan semua teknologi pada tahun 1947. Dengan sumber yang terhad selepas perang dunia kedua enjin ini berupaya menghasilkan 118 kuasa kuda dengan teknologi SOHC dan juga 3 unit karburetor Webber. Enjin ini berjaya memberikan 12 daripada 13 kemenangan yang disertai oleh Ferrari.
Namun selain daripada enjin 125S ini, Ferrari juga turut bereksperimen dengan enjin 3 silinder namun menggunakan 2 lejang. Enjin yang diberi nama Tipo F134 2T ini memiliki sesaran 1346 cc serta dibantu dengan teknologi supercaj. Ia berupya menghasilkan 130 kuasa kuda pada 5000 RPM. Antara khabar angin yang diperkatakan ialah enjin ini sebenarnya direka bagi menguji idea enjin 2 lejang bagi konfigurasi V6 pada tahun 1994.
Sekiranya konsep ini berjaya, Ferrari akan menggabungkan 2 enjin 3 silinder 2 lejang ini di atas satu aci engkol bagi menghasilkan enjin V6 dengan 260 kuasa kuda dengan sesaran sekitar 2692 cc. Antara perkara yang menarik perhatian jurutera Ferrari ialah enjin 2 lejang sebenarnya lebih ringkas dalam proses menghasilkan kuasa berbanding dengan enjin 4 lejang.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ