Pengedar rasmi Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan secara rasmi permulaan proses pengeluaran XPANDER baharu yang berlokasi di Pekan, Pahang. Malaysia merupakan negara ketiga menjadi pemasangan tempatan selepas Indonesia dan Vietnam.
Mitsubishi XPANDER baharu ini dikeluarkan di HICOM Automotive Manufacturers Sdn Bhd di Pekan dengan menjangkakan pengeluaran sebanyak 6,000 unit setahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Tomoyuki Shinnishi berkata, “XPANDER adalah model signifikan untuk MMM dan kami yakin ia akan diminati di kalangan rakyat Malaysia. Langkah yang diambil untuk melokalisasikan XPANDER adalah demi memenuhi permintaan para pengguna tempatan di Malaysia. Kami mahu menawarkan lebih banyak model pada harga kompetitif dengan spesifikasi lebih baik untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada para pengguna.”
“Kami memastikan bahawa setiap unit XPANDER menjalani ujian kawalan kualiti sebelum dihantar keluar. Setiap perincian akan diperiksa dengan menggunakan mata para petugas dan juga teknologi terkini,” tambahnya lagi.
Sejak dilancarkan di Indonesia, XPANDER dan XPANDER Cross telah mendapat sambutan yang menggalakan untuk gaya futuristik dan prestasi pemanduannya. Di penghujung September 2020, jumlah jualan telah mencapai sehingga 270,000 unit. Dijangkakan, XPANDER baharu akan dilancarkan di Malaysia pada November 2020.