Lebih 1000 kenderaan berjaya dihimpunkan di padang kawad UPSI Tg. Malim sempena Honda Meet N Greet 2022 yang diadakan baru-baru ini. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini termasuk autoshow, persembahan band dan juga jualan amal untuk disalurkan kepada Sekolah Maahad Tahfiz Mualim Tg. Malim.
Dianggarkan lebih kurang 50 grup Honda telah hadir seperti EGCC, DFCC, GHCC, MPM dan macam-macam lagi. Program Honda Meet N Greet Malaysia 2022 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Madya Dr. Nor Khalid Bin Salimin dan pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Bin Nasrifan.
Aktiviti autoshow yang diadakan mendapat sambutan hebat dengan menyaksikan penyertaan sebanyak 70 buah kereta Honda. Bukan itu sahaja, autoshow ini turut menyediakan sebanyak 14 kategori yang dipertandingkan seperti Best JDM, USDM, Mugen, Spoon, Engine Bay, Tactical Art dan lain-lain lagi. Manakala persembahan band tempatan yang dijemput pada program tersebut berjaya membuatkan para pengunjung yang hadir terhibur dengan seleksi lagu yang menghiburkan.
Tujuan acara ini dianjurkan tidak lain adalah untuk mengeratkan silaturahim serta merapatkan ukhuwah para pengguna kenderaan Honda. Dalam masa yang sama, Universiti Pendidikan Sultan Idris juga mengadakan majlis Konvokesyen kali ke 23 dan secara tidak langsung menambahkan seri penganjuran program Honda meet N Greet Malaysia 2022.