Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini berkongsi berita baik khususnya untuk para pelanggannya dan memaklumkan semua wakil-wakil pengedarnya kini telah dinaik taraf samada sebagai pusat 3S atau 4S. Perkembangan ini merupakan sebahagian inisiatif syarikat untuk meningkatkan lagi pengalaman pemilikan kenderaan oleh para pelanggan Volkswagen.
Buat masa ini, terdapat 17 wakil pengedar Volkswagen dan satu rakan servis, yang berlokasi di bandar-bandar utama di seluruh negara untuk jualan dan khidmat selepas jualan. Sebanyak 14 dari jumlah tersebut merupakan pusat 4S (Sales, Service, Spare Parts and Body & Paint Services). Manakala tiga lagi merupakan pusat 3S (Sales, Service and Spare Parts). Manakala sebuah lagi merupakan pusat 2S (Service and Spare Parts). Semua wakil pengedar ini dilengkapi dengan kepakaran dan kemudahan untuk servis mengecat dan membaiki kereta.
Bagi mengukuhkan lagi jaringan wakil-wakil pengedar ini, VPCM sentiasa bekerjasama dengan wakil-wakil pengedar serta rakan kongsi demi memenuhi kehendak para pelanggannya dengan menawarkan servis premium dari tenaga pakar dan macam-macam lagi. Usaha ini dapat dilihat menerusi rating yang diberikan oleh pelanggan di laman web Car.Advisor.
Setakat hari ini, Volkswagen Malaysia telah menerima 4.93/5 bintang untuk pengalaman jualannya di Car.Advisor sebagaimana yang diberikan oleh para pelanggan. Bagi servis selepas jualan pula menerima sebanyak 4.76/5 bintang berdasarkan keputusan yang dikeluarkan pada April 2022. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang servis yang disediakan Volkswagen, layari www.volkswagen.com.my.