BMW Malaysia baru-baru ini telah melancarkan varian terbaharu dalam keluarga BMW 3 Series iaitu BMW 330e M Sport. Penampilan BMW 330e M Sport diserlahkan dengan bahasa rekaan terkini BMW yang melibatkan lampu hadapan LED adaptif lebih memanjang serta lampu belakang LED 3D berbentuk L yang nipis.
Ia dipasang dengan rim aloi ringan M bersaiz 18 inci bersama rekaan 790 M Bicolour yang dibalut tayar jenis runflat. Sedan hibrid itu dikuasakan oleh enjin petrol 4 silinder berkapasiti 2 liter dengan BMW TwinPower Turbo serta teknologi XtraBoost. Enjin tersebut mampu menjana 292hp dan tork 420Nm.
Biarpun berkuasa, jentera itu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 2.2l/100km dengan emisi hanya 50g/1km. Pecutan maksimum yang mampu dicatatkan ialah 230km/j dengan 0-100km/j hanya mengambil masa 5.9 saat.
Ciri XtraBoost dapat diaktifkan melalui butang Driving Experience Control dalam modw SPORT. XtraBoost juga dapat digunakan ketika kedudukan gear diturunkan selepas menolak tuil gear ke posisi M atau S. Pengendalian mantap BMW 330e M Sport disumbangkan oleh suspensi Adaptive M Sport, stereng sport boleh ubah dan brek M Sport. Pakej M Aerodynamics didatangkan sebagai standard.
Ruang dalaman BMW 330e M Sport menampilkan kemasan Aluminium Tetragon. Bahagian bumbung pula dilapisi material Anthracite BMW Individual. Kokpit pemandu disempurnakan lagi dengan stereng M dibalut kulit dan sistem pendingin hawa automatik tiga zon. Tidak ketinggalan, kluster instrumen digital BMW Live Cockpit Professional yang terdiri daripada paparan 12.3 inci dan skrin sentuh 10.25 inci. BMW ConnectedDrive yang memanfaatkan Sistem Operasi BMW 7 pula menjadi ciri standard.
Varian baharu ini turut dilengkapi sistem bunyi HiFi 10 unit pembesar suara dengan kuasa amplifier 205W. Fungsi Apple CarPlay ada disediakan untuk dilanggan. Bagi keselamatan dan memudahkan pengguna, Kunci Digital BMW hadir sebagai ciri standard. Sistem Driving Assistant Professional dengan bantuan stereng serta bimbingan laluan dan Bantuan Parkir memudahkan urusan memarkir kenderaan.
BMW 330e M Sport hadir dalam warna putih, hitam, biru, kelabu dan oren. Ia boleh dipadankan dengan upholsteri kulit berwarna hitam atau coklat. Untuk tempoh terhad, pembeli akan menerima jaminan lanjutan bateri sehingga 8 tahun atau perbatuan sejauh 160,000km (mana-mana tiba dahulu). Tawaran ini sah sehingga 31 Disember 2020.
Jika berminat, BMW 330e M Sport boleh anda miliki pada harga RM264,613 seunit (atas jalan, tanpa insurans). Ia sudah boleh ditempah di mana-mana pengedar sah BMW atau di laman web https://shop.bmw.com.my/dengan bayaran RM 1,000.
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ