Pusat Jualan dan selepas jualan serta bengkel Badan Kenderaan dan Cat (B&p) Perodua sudah mula beroperasi di seluruh negara. Bagi makluman, Perodua telah mempunyai sebanyak 191 pusat jualan, 197 pusat servis dan 69 B&P di Malaysia.
Pembukaan semula ini adalah ekoran fasiliti pembuatannya yang berlokasi di Sungai Choh, Rawang telah dibenarkan beroperasi baru-baru ini. Malah, penghantaran kenderaan juga telah dimulakan secara berperingkat dan menjangkakan lebih banyak kereta bakal dihasilkan juga didaftarkan dalam beberapa minggu ini.
Walaupun Perodua telah memenuhi kriteria yang diperlukan untuk program vaksinasi pekerja-pekerjanya, pengeluar kereta kompak itu tetap menggariskan panduan keselamatan buat para pelanggan ketika mengunjungi pusat jualan dan selepas jualannya. Pusat selepas jualan merangkumi pusat servis serta kemudahan badan kenderaan dan cat.
Keperluan-keperluan keselamatan ini termasuklah mendapat vaksin sepenuhnya, memakai pelitup muka, membuat janji temu sebelum mengunjungi cawangan jualan dan/atau servis dan sentiasa menjaga penjarakan fizikal. Perodua mempunyai kira-kira 11,000 orang kakitangan. Jika digabungkan dengan para pembekal, pengedar dan kontraktornya, ekosistem Perodua mempunyai lebih 70,000 tenaga kerja.
Sumber : Mekanika