Kebanyakan syarikat pengeluar automotif di Jepun, tidak akan menunggu lama apabila model terbaharu keluarannya kurang mendapat perhatian. Begitu juga yang terjadi dengan Subaru, sebaik sahaja menyedari Subaru Ascent masih belum diterima oleh pengikut dan peminat kereta, mereka mengubah dan memperkenalkan model terbaharu untuk tahun 2023!
Dijangka bakal tiba di pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu, crossover saiz pertengahan ini tampil lebih ganas ekoran gril yang lebih lebar dan diapit dengan headlight LED baharu. Ia diikuti pula dengan bampar hadapan lebih agresif yang mempunyai tempat masuk udara baharu, membantu memperbaiki pengaliran udara dalam kenderaan.
Selebihnya, perubahan gayanya agak terhad tetapi crossover ini mempunyai rim dan taillight baharu di mana grafiknya tampil lebih tebal dan kelihatan seakan bentuk C. Kemaskini ini diteruskan di bahagian kabin, di mana sebelum ini dihiasi dengan sistem infotainment 6.5 inci dan 8 inci yang telah digantikan dengan papan pemapar 11.6 inci standard baharu yang berorientasikan potret. Selain skrin yang luas, sistem baharu ini juga didatangkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.
Bercakap tentang teknologi, Ascent 2023 ini mempunyai sistem Cabin Connect baharu di mana sistem komunikasi antara barisan pertama dan ketiga telah diperbaiki seperti yang ada pada fungsi Passenger Talk Kia. Sistem yang menggunakan mikrofon dan speaker belakang untuk membantu suara pemandu didengar oleh penumpang di kerusi barisan pertama sehingga yang duduk di bahagian ketiga.
Manakala dari segi keselamatan pula, crossover ini didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan EyeSight versi terkini. Didatangkan dengan kamera mono bersudut luas baharu untuk meluaskan lagi sudut pandang dan mengenalpasti pejalan kaki atau penunggang basikal lebih awal apabila kenderaan memasuki simpang pada kelajuan yang rendah. Sistem ini juga telah didatangkan dengan perisian yang telah dikemaskini dan menjanjikan fungsi yang lebih lancar walau dalam keadaan apa sekali pun.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pengesan titik buta dengan bantuan penukaran lorong serta amaran lintasan trafik di bahagian belakang, fungsi stereng kecemasan automatik baharu. Ianya berfungsi dengan sistem brek untuk membantu pemandu mengelak kenderaan dari berlanggar ketika memecut pada kelajuan kurang daripada 50 mph (80 km/j). Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan Surround View Monitor baharu yang menggunakan 4 kamera untuk mewujudkan pemandangan 360°.
Subaru Ascent tahun 2023 ini akan menawarkan 5 kemasan pilihan termasuk Onyx Edition. Model ini dilengkapi dengan eksterior hitam bersama rim 20-inci yang juga berwarna hitam. Pembeli juga akan mendapat moonroof panaromik standard dan tempat duduk kalis air StarTex bersama jahitan berwarna berlawanan.
Onyx Edition juga boleh dilengkapi dengan pakej baharu yang menambahkan tempat duduk kuasa 12-way, tempat duduk penumpang hadapan kuasa 4-way, barisan kedua dengan penahan cahaya matahari dan tempat duduk belakang dengan pemanas. Pakej ini juga dilengkapi dengan pemegang cawan di hadapan, papan pemapar pelbagai info berwarna dan sistem bunyi Harman Kardon Quantum Logic dengan fungsi Cabin Connect.
Dikuasakan oleh enjin caj turbo 4 silinder 2.4 liter yang menghasilkan 260 hp (194 kW / 264 PS) dan tork 277 lb-ft (375 Nm). Disepadankan dengan transmisi pelbagai dan sistem AWD. Harga akan diumumkan kemudian dan buat masa ini, ia akan dipasarkan di Amerika dahulu. Menurut laporan Ccarprice.com, Ascent 2023 bakal memasuki pasaran Malaysia di penghujung tahun 2022. Benar atau tidak, kita tunggu dan lihat.
Sumber : Carscoops