Chevrolet Colorado terpakai bukanlah sejenis pikap trak yang akan menjadi pilihan untuk kerja-kerja pengubahsuaian di kalangan peminat modifikasi dan restorasi. Namun, berlainan pula kisahnya dengan Colorado keluaran tahun 2005 yang bakal dilelong November ini.
Tampil lebih menyeronokkan dengan kombinasi warna ceria dan juga garang, Colorado ini telah dimodifikasi oleh Kentucky’s Cool Car sehingga menjadi sebuah roadster yang sangat menarik. Sesiapa sahaja akan menoleh dua tiga kali melihat Colorado ini yang cermin depannya telah dipotong, panel pintu tahap bunuh diri dan juga ruang kokpit terbuka.
Kalau itu masih belum mampu menarik perhatian, tunggu dulu sehingga anda melihat trak ini yang dilengkapi dengan billet grille, pemegang pintu yang licin, tayar 22 inci serta ukiran di bahagian belakang kereta. Boleh dikatakan, ia mengehadkan sudut praktikal trak ini tetapi bahagian belakang yang terbuka memberikan ruang lebih luas.
Keunikan trak ini diteruskan lagi di bahagian kabin di mana kerusinya telah disarungkan kusyen kulit dengan bahagian tengahnya pula adalah kulit ular. Di bahagian tengah Colorado ini juga tidak kurang cantiknya dengan fabrik upholsteri suede bersama konsol gelas fiber yang menempatkan pemain DVD serta punat kawalan tingkap, diikuti kerusi belakang yang telah dikustom juga sistem audio hebat.
Tidak banyak spesifikasi prestasi dikongsi tetapi trak ini mungkin dilengkapi 5-silinder 3.5 liter dengan air intake K&N. Jika benar, ia menghasilkan lebih kuasa dari model stok iaitu 220 kuasa kuda (164 kW / 223 PS) dan tork 225 lb-ft (305 Nm).
Menurut laporan yang dikongsikan Carscoops tidak dinyatakan harga anggaran tetapi berdasarkan sesi lelongan yang lepas, ianya mungkin berharga di antara $75,000 – $100,000. – Carscoops