Kelibat kereta ini boleh menarik minat sesetengah dari kita, khasnya mereka yang lahir di era 70-an. Tak cakap orang lainlah, gua sendiri pun terkesan bila melihat susuknya di depan mata. Nostalgia sungguh. Semuanya disebabkan ia pernah dimiliki dan menjadi sebahagian dari keluarga. Tapi yang 4-pintu biasa jelah…
Sejarah Sunny bermula pada tahun 1966, dengan pengenalan model kompak B10. Ia diikuti dengan siri B110, sebelum model B210 ini mengambil tempat pada tahun 1973. Untuk pasaran sebelah sini, model ini antara pilihan paling popular selepas Corolla dan lebih dikenali dengan nama Datsun 120Y atau Datsun Buah Kana. Mana datang buah kana tuh? Tengok bentuk lampu belakangnya, baru senang nak ingat.
Seperti biasa, platform model ini telah dikembangkan kepada beberapa varian. Ada 6 kesemuanya iaitu sedan 4-pintu, sedan 2-pintu, fastback 2-pintu, wagon 3-pintu, wagon 5-pintu dan van 3-pintu. Sayangnya, tak semua pernah wujud di sini dan kebanyakan yang melata terdiri dari model sedan 4-pintu yang banyak digunakan sebagai teksi.
Yang pasti, kereta milik Sharul ini tak pernah digunakan sebagai teksi. Nak sumbat kot mana kalau pintu belakang pun takde. Ia berjaya berpindah tangan lepas puas memujuk seorang apek olskool untuk menjualnya. Dah hari-hari datang tanya. Mau semak orang tua tu dibuatnya.
Kereta ini diperolehi dalam kondisi yang hampir sempurna. Sopak sikit-sikit tu biasalah. Tapi keadaan lantai dan keseluruhan panel badan, masih lagi utuh dan bebas karat degil. Malah kesemua komponen penting yang diperlukan, terus kekal pada kedudukan asal. Kat situ untung banyak dah, masa pun jimat. Cuma mungkin kurang thrill berbanding usaha mencari sendiri seperti yang dilakukan oleh kaki olskool lain.
Walaupun okey, Sharul tetap menghantar kereta ini untuk rawatan spa kelas VIP. Mana-mana bahagian yang kurang elok telah dibetulkan semula, sebelum dilayangkan dengan kaler putih-hitam. Nampak semat jugak, makin jelas bentuk badannya yang tonggek. Buat masa ini, hanya proses semburan tar bahagian bawah saja yang masih tertangguh.
Sistem suspensi asal yang lembut dan jinjang juga telah diolah semula. Spring depan kasi potong, manakala spring dedaun belakang perlu dilapik untuk mendapatkan profil lebih rendah. Sebagai daya penyeri, bahagian roda diisi rim Speed Star Casablanca 8 dan dibalut pada tayar Continental CC5 bersaiz 175/65R-14.
Ketika dibeli, enjin kereta ini sebenarnya takat cukup makan jer. Boleh jalan, tapi berat semacam. Sebagai penyelesaian, ia telah digantikan dengan enjin lebih sihat dari siri yang sama. Tiada sebarang perubahan diperlukan, kecuali penggunaan kabel pencucuh silikon sebesar 8mm.
Selain luar, bahagian dalam juga antara yang menarik untuk kereta ini. Keseluruhan dashboard, meter, stereng, konsul tengah dan komponen penting lain, masih utuh di tempatnya. Hanya sedikit baik pulih diperlukan, kecuali kerusi depan yang dirembat dari kereta lain. Mana dapat entah, macam RX7 pun ada. Ia kemudian dibalut semula, termasuk kerusi belakang dan panel pintu. Untuk lebih keselesaan, unit ekon jenis kaset turut dipasang selain tambahan sistem audio yang serba ringkas.
Walaupun sudah dihentikan sejak tahun 2006, nama Sunny masih digunakan oleh Nissan di pasaran tertentu. Kau kenal mamat nama Almera? Itulah rupa Sunny zaman sekarang!