Ia bukanlah sesuatu yang mudah diterima dalam dunia sukan bermotor. Silap-silap, kritik, komen dan maki hamun mereka boleh buat jurutera skema bagi notis berhenti kerja 24 jam. Namun, realiti tidak boleh diubah apabila semua kereta massa beralih kepada pacuan depan yang ekonomikal, jimat, kos rendah dan banyak lagi kelebihannya. Mungkin ramai yang tertanya kenapa kereta mewah seperti BMW, Mercedes, Porsche, Ferrari, Maybach masih menggunakan pacuan roda belakang. Hakikatnya, kalau mereka buat pacuan satu roda sekali pun, jenamanya tetap dipandang tinggi berbanding kualiti kejuruteraannya.
Jepun mempengaruhi dunia dalam aspek pacuan sebegini. Pada penghujung tahun 1980-an, era perubahan ini menyaksikan semua kereta penumpang kecil (kecuali Lexus, Toyota dan Nissan) mula mengadaptasi teknologi tersebut. Tidak terkecuali Mitsubishi yang mana model Lancer dan Galant turut menggunakan sistem pacuan roda hadapan. Proton pernah buat sekali sahaja kereta pacuan belakang iaitu Proton Waja Tengku Djan. Tapi itu bukan kereta produksi. Kalau buat kereta pacuan belakang belum tentu ada orang beli. Sedangkan pacuan depan pun selalu breakdown, pacuan belakang apatah lagi.
Era perubahan ini jugalah yang bertanggungjawab melahirkan model berprestasi sport. Nasib baik Honda dari dulu buat kereta pacuan depan. Apa yang saya hendak ceritakan di sini bukanlah kereta Honda atau Mitsubishi tetapi kereta pacuan depan Proton Satria. Kereta ini dimiliki oleh Sham yang mahukan sebuah kereta berkuasa tetapi tidak berapa mahal dan lama sangat bodynya. Jadi, dia pun membeli sebuah Proton Satria terpakai pada harga yang munasabah. Kereta ini keluaran tahun 2002, tidaklah teruk sangat melainkan warna badannya yang sudah mulai pudar.
Sebaik sahaja dibawa ke bengkel, enjin lamanya dibuang dulu jauh-jauh. Sham memilih enjin 4G93 turbo, orang Malaysia panggil GSR. Jangan silap baca forum lokal yang katanya 4G93 ini enjin lama sebelum Evo I, bukan macam tu. Enjin 4G93 adalah versi kecil untuk produk massa Mitsubishi untuk pengguna yang tidak mahu membeli Evo yang mahal. Lagi satu GSR ada versi automatik yang tidak ada pada Evo dan mitosnya, ia bukan enjin lama. OK. Untuk tahun sekarang memang agak lama, mungkin hampir 20 tahun.
Enjin GSR memang boleh diharap. Dia punya TD04 sebenarnya sudah cukup. Tetapi bagi mereka yang nak bergaya dengan aksesori turbo wajib tidak salah, malah digalakkan. Enjin kereta ini mempunyai banyak peralatan sokongan jenis bolt-on. Pertama ialah manifold banana custom, wastegate Tial, blow-off Greddy, intercooler depan, paip stainless steel, oil catch tank Cuso dan set piping lengkap Evo 6 yang tidak pasti pula jenama apa.
Kotak gear dipasangkan dengan pelapik klac Triniti dan fungsi 4WD GSR dimatikan kepada 2WD. Sebenarnya, lock gearbox ini memerlukan kepakaran juga sebab kalau jenis pomen bingai boleh tersedak kereta bila launching. Itu tak apa lagi, jenis minyak meleleh tak berenti tu apa cerita? Nasib baik kereta ini dapat mekanik yang cekap dan berpengalaman. Kuasa Satria diperkemaskan lagi dengan sistem suspensi boleh laras TEIN pada keempat-empat sudutnya. Nasib baik juga kerana Sham dapat pillow ball jenis boleh laras. Kereta ini dipasang dengan brek GSR di depan dan brek Nissan di belakang. Sampai sekarang saya tidak dapat fikir brek Nissan apa yang boleh dimasukkan pada kereta Proton.
Melihat ke bahagian kokpit, ternampak sepasang kerusi Evo 8. Stereng Sparco dan papan pemuka GSR punya. Sebenarnya sama sahaja sama ada GSR, Lancer, Mivec atau Mirage. Ada yang hitam, ada kelabu, ada yang calar balar. Sekarang, panel tengah dengan pendingin hawa digital tidak tahu berapa harganya. Masa saya main kereta ini dulu, kedai potong siap buat tempat letak habuk rokok sahaja. Nampak tray atas papan pemuka sebelah penumpang tu? Itu dah kategori rare sekarang. Bahagian luar kereta dipasangkan dengan bodykit Mirage Cyborg di depan, skirt dan spoiler belakang. Warna biru lembut dikontras dengan warna putih pada bonet depan dan belakang. Hmmmm….boleh tahan juga stail macam ini.
Spesifikasi
Model: Proton Satria / tahun 2002
Enjin: 4G93 GSR turbo 1800cc, wastegate Tial, manifold banana custom, greddy blow-off, stainless steel piping, ekzos set Evo 6.
Kotak gear: Manual 5 kelajuan, klac
Suspensi: TEIN depan belakang
Brek: Depan GSR belakang Nissan
Rim: ST Racing 16
Tayar Goodride: 205/45/16
Dalaman: Papan pemuka Lancer GSR, boost meter HKS, stereng Sparco, seat Recaro Evo 6.
Luaran: Bodykit Mirage Cyborg, spoiler. Warna biru putih
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ