Baru-baru ini, Honda Malaysia mengumumkan perancangan untuk melancarkan beberapa model baharu serta menawarkan program pembiayaan dan promosi dalam baki empat bulan tahun 2021. Langkah ini dibuat untuk mendapatkan semula momentum perniagaan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Model baharu tersebut pastinya amat dinanti-nantikan khususnya para penggemar Honda. Besar kemungkinan, model yang bakal dilancarkan ialah Civic generasi baharu dan City Hatchback. Pengenalan model baharu bersama pengecualian cukai jualan yang bakal berakhir pada 31 Disember dijangka merancakkan kembali jualan kenderaan Honda di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo, model-model baharu itu bakal dilengkapi teknologi terkini Honda.
Pembukaan sektor automotif dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga membolehkan kilang pemasangan di Melaka dan bilik pameran kembali beroperasi sepenuhnya. Honda Malaysia telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengekalkan produksi di kilang dan memastikan keperluan pelanggan dipenuhi melalui produk berkualiti tinggi.
Kilang dan semua pengedar Honda akan mematuhi SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi mewujudkan persekitaran selamat untuk semua. Justeru, 80 peratus kakitangan Honda Malaysia sudah lengkap divaksinasi melalui program imunisasi industri, PIKAS. Baki 20 peratus lagi dijangka mendapat vaksin penuh mereka menjelang Oktober 2021.
Jika anda merancang untuk membeli kereta baharu, anda berpeluang mendapatkan promosi istimewa sepanjang September ini. Kempen yang meraikan Hari Malaysia itu menawarkan faedah sehingga RM6,000. Selain itu, Honda Malaysia turut memperkenalkan Program Pembiayaan Istimewa sehingga 31 Dsember 2021. Ia membolehkan pelanggan membeli kereta Honda dengan bayaran bulanan lebih rendah pada peringkat awal pemilikan mereka.
Pelanggan kini boleh membuat tempahan secara dalam talian dengan mudah di laman web; prebook.honda.com.my dan aplikasi HondaTouch dengan yuran minimum RM99 sahaja.
Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.honda.com.my atau hubungi talian tol percuma Honda Malaysia: 1-800-88-2020
Sumber : Mekanika