Peminat perlumbaan dan muzik bakal disajikan dengan pengalaman luar biasa di SUPER GT Malaysia Festival 2025 yang bakal berlangsung dari 26 hingga 28 Jun di Litar Antarabangsa Sepang. Dengan harga tiket serendah RM80, peminat bukan sahaja dapat menikmati aksi perlumbaan berprestij, tetapi turut dihiburkan dengan konsert pasca perlumbaan GT Live! yang menampilkan bintang-bintang muzik sensasi serantau.
Dianjurkan oleh HARO Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan penganjur pusingan Malaysia SUPER GT bersama Nihon Matsuri selaku penganjur bersama, festival ini menjanjikan hiburan menyeluruh untuk semua. Gabungan perlumbaan, pameran automotif, persembahan kebudayaan Jepun, perhimpunan kereta JDM dan konsert menjadikan festival ini sebuah acara yang perlu dihadiri.
Menurut Fahrizal Hasan, Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment, “SUPER GT Malaysia Festival bukan sekadar perlumbaan. Ia adalah acara yang penuh dengan keseronokan – daripada pameran automotif dan budaya Jepun hinggalah konsert GT Live!. Satu tiket membuka pintu kepada pelbagai bentuk hiburan dalam satu acara yang epik.”
Penampilan GT Live! sebagai sebahagian daripada festival ini dijangka menjadi tarikan utama, khususnya dengan kemunculan trio muzik popular dari Indonesia, Tenxi, Naykilla dan Jemsii, atau lebih dikenali sebagai TNJ. Mereka yang tular di media sosial dengan lagu “Garam & Madu (Sakit Dadaku)” kini akan tampil secara langsung di atas pentas buat pertama kali di Malaysia.
Festival ini turut menerima sokongan penuh daripada UMW Toyota Motor dan Toyota GAZOO Racing Malaysia sebagai penaja utama, serta Bridgestone selaku pembekal tayar rasmi untuk GR86 Cup Malaysia Series, yang bakal dilangsungkan buat pertama kali tahun ini.
Dengan pelbagai tarikan dan aktiviti menarik, SUPER GT Malaysia Festival 2025 bukan sahaja meraikan sukan permotoran, tetapi juga budaya, komuniti dan hiburan dalam satu pakej lengkap. Jangan lepaskan peluang, rebut tiket Early Bird selagi masih ada dan jadikan Jun ini kenangan yang sukar dilupakan!