Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan untuk membantu para pemilik Volkswagen yang terjejas teruk dengan tragedi banjir baru-baru ini. Program yang sudah pun bermula ini akan berakhir pada 28 Februari nanti. Para pemilik yang terjejas akan diberi diskaun sebanyak 30% untuk alat-alat ganti dan upah buruh untuk kerja baik pulih di pusat-pusat servis.
Bagi meringankan beban yang mungkin dihadapi oleh para pelanggan, turut ditawarkan adalah pelan pembayaran mudah di mana para pelanggan diberi pilihan untuk mengagihkan bil selama 6 bulan atau 12 bulan pada 0% kadar bunga (mengikut terma dan syarat).
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata bahawa seluruh warga VPCM sangat bersimpati dan sedih dengan tragedi banjir kilat yang melanda Malaysia hujung minggu lalu. Mereka juga berharap, program yang disediakan ini dapat membantu meringankan beban yang dihadapi para pemilik dan pelanggan Volkswagen dalam menghadapi ujian ini.
Para pemilik digalakkan untuk memuat-turun aplikasi Volkswagen Cares (Apple App Store/Google Play Store) untuk menebus baucar bantuan banjir ini mengikut terma dan syarat. Sila hubungi pusat servis sah Volkswagen berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut.