Lanjutan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2021 adalah kejutan positif buat pengeluar automotif dan pengguna, sekali gus dapat merangsang aktiviti pembelian kenderaan untuk beberapa bulan akan datang selain mengurangkan tempahan tertunggak. Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, berkata firma penyelidikannya menjangkakan pemulihan lebih kukuh jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2021 kepada 585,000, 17 peratus lebih tinggi berbanding tahun ini.
“Kami percaya pelancaran baharu pada suku keempat 2020 seperti Proton X50, Honda City dan Nissan Almera mampu membantu meningkatkan sentimen pengguna.
“Ini dipacu dengan lanjutan cukai jualan sehingga 30 Jun 2021, promosi bermusim dan pelancaran baharu pada separuh kedua tahun depan,” katanya dalam satu nota.
TA Securities dalam nota penyelidikannya berkata, ia percaya pengecualian cukai itu akan membantu meningkatkan jualan kereta pada tahun depan, sekali gus ia menyemak semula sasaran TIV lebih tinggi 5.9 peratus kepada 627,000 unit bagi 2021.
“Dapat dilihat sewaktu tempoh pengecualian cukai, pertumbuhan TIV dari Julai hingga November lalu meningkat secara purata 1.5 peratus tahun ke tahun.
“Ini membantu menyederhanakan penguncupan TIV untuk tempoh 11 bulan pertama 2020 kepada 16.7 peratus (454,700 unit) daripada penguncupan 41.1 peratus pada separuh pertama 2020.
“Jualan kereta yang lemah pada separuh pertama 2020 adalah disebabkan oleh penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata pelanjutan itu diharap dapat meneruskan momentum bagi prestasi jualan industri automotif lebih positif pada penghujung 2020, yang pada mulanya terkesan akibat sentimen berjaga-jaga oleh pembeli awal tahun ini selepas PKP dilaksanakan.
Katanya, walaupun sektor automotif menunjukkan kestabilan pada suku ketiga dan keempat 2020, lanjutan itu dapat memberi lebih masa kepada pengeluar kenderaan serta komponen untuk melaksanakan pelan pemulihan dan strategi pemasaran pasca pandemik COVID-19.
“Ini juga memberikan sedikit ruang bagi pengguna membuat pilihan sesuai jika memerlukan kenderaan baharu dalam masa terdekat ini.
“Langkah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan juga dilihat sebagai tanda kepentingan sektor ini kepada kerajaan dan negara,” katanya.
Sumber : Berita Harian