Baru-baru ini, Chery telah melancarkan Tiggo 8 Pro Max di Qatar, menjadikannya negara pertama di Timur Tengah yang menerima SUV tujuh tempat duduk yang dinaik taraf tersebut. Teknologi canggih, kelengkapan mewah, tahap keselesaan dan keselamatan yang tinggi, serta kuasa cekap ditawarkan menerusi varian Comfort, Luxury dan Flagship.
Tiggo 8 Pro Max mewakili kemuncak barisan Tiggo 8. Enjin 2.0 TDGI menghantar 254 PS dan 390 Nm tork kepada keempat-empat roda melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.
Dibangunkan oleh Chery, enjin 2.0 TGDI tersebut menjuarai 10 Enjin Terbaik ‘China Heart’ 2021 kerana keseimbangannya antara kecekapan dan kuasa. Dengan enjin ini, Tiggo 8 Pro Max mampu mencapai kecekapan bahan api serendah 7.0 liter setiap 100 km.
Tiggo 8 Pro Max juga dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD) kawalan elektronik. Enam mod pemanduan – economy, normal, sport, camping, skiing dan off-road – menyesuaikan kenderaan tersebut kepada pelbagai keadaan pemanduan dan permukaan. Sistem AWD mampu memindahkan tork secara automatik kepada keempat-empat roda dalam masa 100 milisaat bagi memastikan pergerakan selamat dan stabil dalam keadaan mencabar.
Falsafah reka bentuk ‘Life in Motion 3.0’ Chery terserlah melalui gril hadapan geometric matrix diamond yang diilhamkan oleh galaksi, kemasan krom satin dan lampu belakang dengan gaya tersendiri, mencipta penampilan keseluruhan yang kemas, mewah serta mengagumkan.
Bahagian dalaman dilengkapi dengan skrin berkembar yang luas, panel kawalan iklim lapan-inci, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, arahan suara dan penapis udara kabin, di samping tempat duduk kulit. Turut tersedia adalah Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang merangkumi pelbagai fungsi termasuk Adaptive Cruise Control, Automatic Parking Assist, Lane Keep Assist dan Blind Spot Detection.
Selain Timur Tengah, Tiggo 8 Pro Max akan turut dilancarkan di Brazil, Chile dan negara-negara lain di Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Setakat ini, Tiggo 8 Pro merupakan salah satu model Chery yang sedang dirancang untuk Malaysia.