Proton X50 bakal dilancarkan secara rasmi kepada umum pada 27 Oktober ini, sekali gus menamatkan penantian bagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) paling di tunggu-tunggu pasaran automotif tempatan. Proton Holdings Bhd mendedahkan pelancaran SUV kompak yang akan menjadi pemangkin perubahan kepada PROTON itu akan disiarkan secara maya menerusi laman Facebook rasminya, Proton Cars pada jam 10.50 pagi, Selasa depan.
“Ikuti laman Facebook rasmi PROTON iaitu https://www.facebook.com/ProtonCarsOfficial dan bersedia untuk pelancaran rasmi secara maya Proton X50 pada 10.50 pagi, 27 Oktober ini,” katanya.
Proton X50 didatangkan dengan empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship dan mempunyai enam warna pilihan iaitu snow white, armour silver, jet grey, ocean blue, passion red dan citric orange.
Bagi tiga varian pertama, setiap model dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo manakala varian flagship dikuasakan enjin 1.5 liter TGDI dan digandingkan bersama transmisi 7-kelajuan DCT. Dari segi ciri keselamatan, ia dilengkapi sehingga enam beg udara, kamera undur, kamera 360 darjah untuk varian premium dan flagship serta ‘advanced driver assistance system’ yang ditawarkan untuk hanya varian flagship.
Model berkenaan juga didatangkan dengan paparan skrin sentuh bersaiz antara lapan hingga 10.25 inci mengikut varian dan boleh dihubungkan dengan internet menggunakan eSim. Antara ciri baharu menarik lain yang ditawarkan ialah pengguna boleh menghidupkan enjin dan penyaman udara di telefon pintar mereka menggunakan aplikasi PROTON Link.
Difahamkan, model pemasangan tempatan (CKD) di kilang Proton di Tanjong Malim itu menerima lebih 20,000 tempahan dalam tempoh dua minggu selepas tempahan dibuka pertengahan September dengan tempoh menunggu sehingga enam bulan.
Namun, tiada pengesahan rasmi dari PROTON berkenaan jumlah tempahan itu termasuk perkara yang cukup dinantikan iaitu harganya. Berdasarkan andaian dan jangkaan pemerhati industri, Proton X50 dijangka ditawarkan bermula di bawah RM80,000 untuk memberi pilihan kepada rakyat membuat pilihan sama ada SUV kompak itu atau Proton X70 yang ditawarkan pada harga bermula RM94,800.
Sumber : Bharian.com.my