Masalah kekurangan cip bukan satu isu baharu, malah Toyota berjaya mengelak dari menghentikan operasinya sebelum ini. Namun, masalah yang melanda beberapa pengeluar yang lain akhirnya terpaksa ditempuhi Toyota yang akan menyebabkan beberapa kilang di Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan beberapa lagi negara lain akan ditutup.
Menurut Toyota, menjelang September ini mereka bakal berhadapan dengan kehilangan sebanyak 360,000 kenderaan keluarannya di seluruh dunia seperti yang dilaporkan oleh Automotove News. Ia melibatkan jumlah yang besar namun, tidak semua model keluaran Toyota akan terkena tempiasnya.
Syarikat ini merancang untuk mengekalkan kerja-kerja pengeluaran di kilang Texas yang mengeluarkan Tacoma. Pada masa yang sama, Toyota juga bersiap sedia untuk memulakan pengeluaran generasi terbaharu Tundra. Ini merupakan kali pertama Toyota berhadapan dengan masalah menutup pengeluaran major semenjak kekurangan semi-konduktor yang mula memberi kesan terhadap pengeluaran kepada pengeluar lain awal tahun ini.
Toyota juga telah mengeluarkan jadual yang menunjukkan kilang-kilang yang terlibat. Ada yang diberhentikan operasi untuk beberapa menjelang hujung bulan ini dan ada juga yang ditutup sepanjang September. Antara yang terlibat adalah produksi Land Cruiser 300 baharu yang bermula dari 3 September sehingga 30 September.
Masalah kekurangan cip ini terus mengancam pengeluar auto seluruh dunia dan masih belum jelas, bilakah masalah ini akan selesai. Pastinya, bukan dalam masa terdekat.
Sumber : Motor1