Hingga saat ini, tiada siapa boleh nafikan kedudukan Myvi sebagai model paling popular di negara ini. Penguasaannya sejak mula diperkenalkan pada tahun 2005 masih belum tergugat, lebih-lebih lagi selepas pengenalan model generasi ketiga yang seba canggih. Punyalah laku, sampai diskaun raya pun keras nak kasik.
Pun begitu, keterujaan terhadap Myvi baru ini tidak menggugat populariti model-model terdahulu. Masih lagi relevan, tambahan pula ia boleh menerima salinan komponen JDM dalam jumlah yang banyak. Benda ni yang jadi seronok. Walaupun sesetengahnya agak mencekik darah, masih ramai yang sanggup berbelanja besar untuk tujuan ini.
Bila dah banyak sangat, usaha mencari kelainan kadangkala boleh menemui jalan buntu. Berapa ramai dah katam salin barang sebijik Passo. Macam-macam gaya pernah ditunjukkan. Atas alasan tersebut, Huzaifah telah memilih untuk menggunakan kit badan versi Gialla yang kurang diberi perhatian sebelum ini.
Asasnya menggunakan kit badan Passo 07 sebelum diserikan dengan skirt keliling ini. Benda 4 keping je pun, tapi boleh cecah riban-riban. Unit spoiler tidak diperlukan dan sebagai tambahan, diselitkan beberapa aksesori lain seperti plet bumper step, serta lining berkrom pada pintu.
Sistem suspensi asal yang agak sopan santun, telah digantikan dengan set suspensi Passo TRD Sport M. Sementara ruang roda pulak diisi rim Rays TRD Sports T3 berserta tayar Yokohama Advan Neova AD08R dari saiz 205/45R-16. Membolehkan ia berhenti pada waktunya, keseluruhan sistem brek telah dinaik taraf menggunakan set brek 4-pot Wilwood untuk depan serta brek Honda Odyssey yang diubahsuai pada ruang belakang.
Semakan di bahagian enjin mendapati, kuasa enjin asal telah digantikan dengan enjin 3SZ-VE yang lebih ranum. Baru boleh saing ngan Myvi kuneng. Memandangkan ia tidak dibuat untuk menakluk litar, tiada komponen prestasi yang kelihatan pada ruang enjin ini. Bagi melegakan sistem buangan, bahagian ekzos menempatkan unit ekstraktor dan paip kustom, serta sebuah muffler rekaan Modellista.
Asas bahagian dalam disalin menggunakan komponen milik Passo 07, meliputi betangan papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk. Turut mengambil tempat, rangkaian aksesori tambahan seperti panel Modellista, stereng Momo Euro, cermin Tiffana House, pedal American Panic, sensor sisi dan lampu automatik, serta sistem audio lengkap dari Carrozzeria. Paling menarik penggunaan tempat duduk Welcab di bahagian penumpang hadapan, yang boleh dihala keluar menggunakan alat kawalan jauh. Baru mesra okeyu…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Mohd Huzaifah
- Pengeluar – Perodua
- Model – Myvi 1.3L
- Tahun – 2007
- Enjin asal – K3-VE
- Modifikasi Enjin – 3SZ-VE, kabel pembumi Hot Inazma Eco
- Transmisi / Gearbox – Automatik
- Elektronik / ECU –
- Ekzos – Ekstraktor & paip kustom, muffler Modellista
- Suspensi – Passo TRD Sport M
- Brek – Wilwood (depan), Honda Odyssey (belakang)
- Rim & Tayar – Rays TRD Sports T3 16-inci & Yokohama Advan Neova AD08R
205/45R-16 - Dalaman – Papan pemuka, panel pintu & tempat duduk Passo 07, panel Modellista, stereng Momo Euro, cermin Tiffana House, pedal American Panic, sensor sisi & lampu automatik, sistem audio Carrozzeria, tempat duduk Welcab
- Luaran – Kit badan Passo 07, set skirting Gialla, plet bumper step, lining krom pintu
- Bengkel – UHJ Garage