Walaupun pelbagai aktiviti dan program terpaksa dibatalkan demi mengekang penyebaran pandemik berbahaya, namun penutup penghujung tahun 2020 tetap diadakan penuh meriah dengan aktiviti yang dinanti-nantikan khususnya para pencinta dunia permotoran. Pada 26 Disember yang lalu, telah berlangsungnya acara Push The Limits; 8 Hours Of Sepand Day di Litar Antarabangsa Sepang.
Dianjurkan oleh Team Project G, program yang dimulakan seawal 9.00 pagi dan berakhir sekitar pukul 5.00 petang ini tetap mendapat sambutan menggalakkan dari para peminat serta sokongan dari para penaja terkenal seperti Type One yang menaja strut bar, G-Energy, Muxx Ol, LUKOIL, Blitz, CeraMax, Links Engeneering dan banyak lagi. Penyertaan terbuka dan sebanyak 2 kategori disediakan iaitu 8-Hour dikenakan bayaran sebanyak RM700 dan juga 4-Hour dikenakan bayaran sebanyak RM380.
Pihak penganjur telah mengambil langkah berhati-hati termasuklah mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Tidak kurang dengan itu, pihak penganjur dan para peserta tidak melepaskan peluang mempamerkan aksi cemerlang dan kehebatan masing-masing. Semoga program anjuran Team Project G ini akan terus mendapat sambutan selain memberikan platform terbaik untuk para pencinta dunia sukan lasak kereta di Malaysia.