Di kalangan ribuan peminat modifikasi, ada satu golongan yang memiliki hati keras seperti Roy. Kerana minat, mereka sanggup mengambil risiko untuk menjelmakan kereta yang sedang dimiliki kepada model pujaan. Proses yang terlibat bukanlah mudah, namun tidak penghalang mereka untuk meneruskan niat dan impian ini.
Golongan ini bukan sekadar menyalin komponen luar, dalam dan enjin. Yang ni rasanya tak heran sangat, sebab mana-mana pun boleh jumpa. Apa yang mereka lakukan sebenarnya lebih dari itu, menerusi siri naik taraf yang agak radikal.
Misalnya kereta Daus ini yang kalau tak dimaklumkan, pasti disangka sebuah EVO keluaran kilang! Memulakan hayatnya sebagai Wira dengan enjin 4G92 SOHC, ia telah melalui proses modifikasi yang bertahun lamanya, sebelum layak dijadikan bahan paparan di sini.
Mula-mula kita tengok bahagian luar. Belah depan mungkin kurang ketara sebab salinan kit badan EVO III seperti ini, memang selalu kita jumpa. Tapi bila pusing jer tepi dan belakang, baru boleh perasan yang ekornya kini jauh lebih montok dan pendek. Acaner tuh?
Dimaklumkan, terdapat beberapa kaedah yang boleh dibuat. Ada yang kacuk manja, ada yang hantar ketuk, ada yang tukar frame, ada jugak yang potong separuh. Tapi Daus nampaknya lebih kental. Dia salin terus keseluruhan casis belakang termasuk sebahagian lantainya. Bukan potong cenggitu jer, tapi adalah caranya. Penggunaan kit badan lengkap EVO III ini, turut disertakan dengan beberapa komponen lain seperti unit sunroof EVO III, cermin sisi Ganador, lampu smoke depan belakang serta boot jenis karbon fiber.
Keadaan yang sama turut berlaku di bahagian enjin. Bukan takat salin dan jalan, sebaliknya dipertingkatkan semula dari skru pertama. Menggunakan enjin 4G63T EVO III sebagai asas, bahagian bawah telah digantikan dengan blok 4D68 bersama crankshaft 94mm, piston Wiseco 87mm dan conrod dari Eagle. Ia kemudian dicantumkan dengan kepala silinder Galant VR4 RS, yang diberi kerja-kerja port & polish, camshaft Tomei 270° serta sepasang cam pulley boleh laras kustom.
Tersembul megah di atas manifold turbo adalah unit Garrett GT35 dengan hotside sebesar .82. Bagi memastikan ia mampu berfungsi pada tahap optimum, beberapa komponen bantuan perlu disertakan bersama, macam wastagate Precision 46mm, intercooler GReddy serta paip sambungan kustom. Kadar boost yang diperlukan dikawal unit GReddy Profec B II, manakala tekanan berlebihan dibawa keluar menerusi injap pelepas GReddy Type R.
Besar temoloknya, besar jugalah bahan api yang perlu disuap. Untuk itu, 2 buah pam petrol Walbro telah disambungkan untuk menghantar bekalan kepada unit injektor ID sebesar 1050cc. Kuasa letusan datang dari sistem COP kustom, sementara unit ECU Haltech Sport 1000 bertugas mengawal parameter enjin pada tahap optimum.
Kotak gear LSD yang digunakan dilapik set klac plet berkembar dari Quarter Master, sesuai dengan spesifikasi barunya. Ingat lagi salinan casis belakang dengan lantainya tadi? Hasil ubahsuai tersebut membolehkan axle belakang, long shaft dan keseluruhan sistem AWD EVO III diguna sama. Ya, jalan 4 tayar dah sekarang!
Selain sistem AWD, kemantapan pengendalian turut dibantu set suspensi boleh laras dari Cusco. Ia kemudian dihalakan kepada tayar gigit Bridgestone Potenza berukuran 225/45R-17, yang dibalut pada rim femes Volk Racing TE37. Sistem hentian menerima komponen brek 2-pot Galant VRG di bahagian depan, manakala brek EVO III ditempatkan pada ruang belakang.
Bahagian kokpit juga serba lengkap dengan komponen milik EVO III. Dari dashboard, konsul tengah, panel pintu, tempat duduk dan panel penting lain. Paling menyerlah kehadiran set rollcage 6-point, termasuk tempat duduk bucket SPG Carbon di bahagian pemandu. Tidak ketinggalan penggunaan stereng Momo 4-kaki, perehat tangan telor Lancer CK, burger tray dashboard, tray majalah, pemasa enjin Blitz DC, meter 3-beradik RalliArt serta deretan meter-meter Defi. Kau paham ke istilah pasar nih?
Dikhabarkan kereta ini masih lagi bertapa di bengkel. Tak pernah siap, ada aje benda yang nak dibuat. Kerana minat jugalah, Daus telah meletakkan benchmark yang sangat tinggi kepada peminat modifikasi Wira yang lain. Tak terkejor yeop!!!
SPESIFIKASI
- Pemilik – Firdaus
- Pengeluar – Proton
- Model – Wira 1.6
- Tahun – 1996
- Engin Asal – 4G92 SOHC
- Modifikasi Enjin – 4G63T EVO III, blok 4D68, crankshaft 94mm, piston Wiseco 87mm, conrod Eagle, skru & stud ARP, kepala silinder Galant VR4 RS, port & polish, camshaft Tomei 270°, cam pulley boleh laras kustom, penapis udara Simota, manifold turbo kustom, Garrett GT35, wastagate Precision 46mm, intercooler GReddy, paip intercooler kustom, GReddy Profec B II, injap pelepas GReddy Type R, 2 pam petrol Walbro, injektor ID 1050cc, COP kustom, ECU Haltech Sport 1000
- Transmisi – Kotak gear LSD & sistem AWD EVO III, set klac plet berkembar Quarter Master
- Ekzos – Paip custom 3.5-inci, muffler 5Zigen RO
- Luaran – Kit badan lengkap EVO III, sunroof EVO III, cermin sisi Ganador, lampu smoke depan & belakang, boot karbon fiber
- Suspensi – Cusco
- Brek – Galant VRG (depan), EVO III (belakang)
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 17-inci & Bridgestone Potenza 225/45R-17
- Dalaman – Komponen lengkap EVO III, rollcage 6-point, tempat duduk bucket SPG Carbon, stereng Momo, perehat tangan Lancer CK, burger tray dashboard, tray majalah, pemasa enjin Blitz DC, meter RalliArt & Defi
- Bengkel – Ropi Garage, Ferlin Tuneup