Ini antara model sedan yang pernah tergolong dalam kelas prestasi mewah. Ketika dilancarkan MMM kira-kira 10 tahun yang lalu, tag harga yang perlu dibayar sebenarnya hampir mencecah RM320K. Memang mahal terok, hanya disebabkan struktur percukaian kita yang kurang menyebelahi. Tapi lepas kemasukan model-model recon, nilainya di pasaran terpakai menjadi lebih stabil dan mula mencapai angka mampu dengor.
Walaupun tampil berbeza berbanding generasi sebelumnya, Evo X tetap memiliki peminat tersendiri. Ia merupakan tingkat tertinggi kepada pemilik Lancer GT dan Inspira tempatan, untuk memomokkan jentera masing-masing kepada model ini. Malah reputasinya sebagai Evo terakhir, memberi lonjakan tambahan khususnya di kalangan peminat tegar siri Evolution seperti Nazrul.
Evo X adalah model Evolution pertama yang tidak lagi menggunakan enjin siri 4G63T, sebaliknya dilengkapi enjin serba baru 4B11T. Perubahan drastik ini menyebabkan proses tingkat tarafnya menjadi lebih mencabar, terutamanya di kalangan mereka yang sudah biasa dengan corak modifikasi enjin terdahulu. Banyak perkara yang perlu diteliti, sebelum boleh dinaik taraf pada kadar yang sesuai.
Untuk kereta ini, komponen dalaman enjin tidak diusik kecuali penggunaan spring injap Tomei dan sepasang camshaft Tomei Procam 270° di bahagian kepala silinder. Tumpuan Nazrul kemudian lebih kepada sistem pendesak, memandangkan ia merupakan kaedah paling berkesan untuk proses peningkatan kuasa.
Tujahan kuasa menggunakan unit turbo TD05H 22G rekaan Tong Turbo, yang digantung pada manifold turbo Tonnka. Ia dihubungkan kepada unit actuator TTE Performance, yang menerima input dari unit pengawal boost GrimmSpeed. Sebaik throttle ditutup, lebihan tekanan yang tidak digunakan akan dibawa keluarkan menerusi injap pelepas HKS SSQV.
Keperluan bahan api dibawa oleh pam petrol Walbro 400, terus ke set injektor FIC 800cc. Turut disentuh unit ECU asal yang telah diprogramkan semula, untuk capaian kuasa yang optimum.
Evo X pernah dipuji kerana karektor pengendaliannya yang cemerlang berbanding model saingan. Jelasnya, sistem pacuan dan kawalan elektronik yang disediakan pada kereta ini, banyak membantu aspek cengkaman. Bagi memberi anjakan lebih baik, ia kini dilengkapi set suspensi boleh laras Tein Monoflex dengan bantuan sistem EDFC untuk pelarasan lantunan. Juga dipasang bar anti roll Cusco, bagi membaiki karektornya ketika meratah selekoh.
Keseluruhan roda menerima set tayar Yokohama Advan bersaiz 255/35ZR-19 yang dipadankan pada rim sukan Volk Racing RE30. Bagi menjinakkan kuasanya yang semakin buas, sistem hentian perlu dinaik taraf menggunakan kit brek Brembo 380mm dengan kaliper 6-pot untuk depan dan 4-pot di ruang belakang.
Bahagian luar masih berupa sebuah Evo X yang kita kenal. Memang itulah yang sepatutnya, takkan nak pakai bodypart Inspira pulak. Membuatkan ia lebih mahal adalah, penggunaan lip gentian karbon dari Varis serta sebuah ampian baju jenis Voltex Type 5 di ruang belakang.
Untuk bahagian dalam, Mitsubishi telah menaik taraf kualiti material yang digunakan pada kereta ini. Baru rasa mewah sket. Memandangkan ia sudah sedia baik, hampir semua perkakasan asal masih dikekalkan. Yang dikesan hanyalah gugusan meter Defi yang ditempatkan pada sebuah perumah khas di ruang dashboard, serta tambahan unit Infometer dari GReddy.
Peningkatan yang dibuat Nazrul sebenarnya cukup seimbang dari segala segi. Rasanya tak keterlaluan sangat. Paling penting, ia tidak menghilangkan identiti kereta ini sebagai sebuah sedan berprestasi yang masih berpotensi.