Untuk tahun keenam berturut-turut, Retro Havoc kembali menemui peminatnya pada 30 Mac yang lalu. Berlangsung di tempat kereta bertingkat Kompleks BRT Sunway, ia telah dianjurkan dengan kerjasama Pekema Malaysia, selain menerima sokongan pihak Tourism Malaysia.
Penganjuran kali ini mengetengahkan konsep Past & Future. Masih mengangkat kereta-kereta klasik dan retro sebagai pilihan, ia bagaimanapun membenarkan barisan kereta klasik moden, untuk turut sama mengambil bahagian. Hampir 600 buah kereta telah dipamerkan, melibatkan penyertaan dari Malaysia, Singapura dan Thailand.
Seperti sebelumnya, pihak penganjur telah mengundang beberapa personaliti jemputan untuk sama-sama memeriahkan acara ini. Mereka adalah Daijiro Inada (Option Magazine Japan), Shoji Inoue (StarRoad Japan), Ichiraku Toshiya (Kamiwaza Japan), Akira Iida (pemandu rasmi Toyota), Ron Celestine (Speedhunters), Lulut Retro (Kustomfest Indonesia), Archie Yiu (ClassicRacer Hong Kong), dan Jeiven T.Perez (Sushi Factory Philippines).
Sebanyak 7 kategori dipertandingkan iaitu Best JDM, Best Continental, Best Future Retro, Best Race Car, Best Air Cooled, Best Engine Bay, King Of Retro Havoc, termasuk 12 hadiah khas pilihan juri. Menerusi undian yang dijalankan, pihak penganjur sebulat suara memilih sebuah Toyota TE27 dari Bangkok, untuk dinobatkan selaku King Of Retro Havoc 2019. Malah beliau turut membawa pulang tiga hadiah sampingan yang lain iaitu Best Engine Bay, Kustomfest Special Pick, dan Retro Havoc Special Pick.
Kemuncak acara merupakan sesi cabutan bertuah yang menawarkan sebuah Toyota Starlet KP61 sebagai hadiah utama, selain set rim Atara Racing, tiket penerbangan ke Tokyo Auto Salon 2020, serta hadiah sampingan yang lain. Tuah bagaimanapun berpihak Mohd Nur Helmi dari Ipoh Perak, selepas berjaya menjawab soalan mudah yang diberikan.
Foto: Sufiyan Azlan @ Static365