Sekumpulan pemilik Honda Integra DC5, telah mengadakan sesi pertemuan di sekitar Cyberjaya dan Putrajaya pada 14 Disember yang lalu. Ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan, apabila berjaya menghimpunkan sebanyak 51 buah Integra DC5 Type R dan Type S dari seluruh pelusuk negara.
Jumlah tersebut mencatat sejarah tersendiri dan merupakan yang terbesar dalam mana-mana sesi pertemuan pemilik Integra DC5 di negara ini. Sebagai makluman, kali terakhir acara sama pernah diadakan adalah pada tahun 2009, iaitu hampir 10 tahun yang lalu.
Kesempatan bertemu membolehkan mereka menambah kenalan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Ia juga memberi peluang kepada mereka berkongsi minat serta meninjau corak modifikasi rakan-rakan yang lain. Walaupun berdepan cuaca hujan, ia tidak menghalang mereka yang mengambil bahagian untuk terus berada di lokasi pertemuan hingga lewat petang.
Foto: Shah Bahulu @ Adam Photography / Sufiyan Azlan @ Street Style Media