Pameran Malaysia International Automotive & Parts Expo 2019 (MIAPEX), telah diadakan di Pusat Pameran & Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) pada 24-27 Oktober yang lalu. Berlandaskan pameran automotif antarabangsa yang lain, ia dianjurkan oleh Motonation, bertujuan untuk meningkatkan usaha sama antara pemain industri automotif secara global.
Penganjuran kali pertama ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan penyertaan dari beberapa buah negara seperti Malaysia, India, Taiwan, China, Korea dan Thailand. Hampir 300 syarikat automotif telah mengambil bahagian bagi memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing, seperti alat ganti, aksesori, sistem keselamatan, produk penjagaan, dan lain-lain. Sebagai daya tarikan, pihak penganjur turut membawakan barisan kereta berprestasi dan pertandingan motosikal kustom ke ruang pameran ini.
Selain menjadi platform untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan berkaitan automotif, pameran ini juga diharap akan membentuk kerjasama yang lebih berkesan antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.