K Car Global 24hours Endurance Race kembali menjengah Litar Antarabangsa Sepang pada 15-17 November yang lalu. Perlumbaan yang dianjurkan setiap 2 tahun ini menerima sambutan yang amat menggalakkan, apabila disertai oleh 46 buah jentera dari Jepun dan Malaysia, membabitkan barisan pelumba dan kru pasukan dari serata dunia seperti Jepun, Malaysia, Australia, United Kingdom, Hong Kong, Filipina, Thailand, Taiwan dan Singapura.
Berbeza dengan siri perlumbaan lain, K Car Global Sepang 24hours Endurance Race lebih menerapkan ciri-ciri keceriaan dan semangat kerjasama. Ia boleh dilihat seawal sesi raptai hingga tamat perlumbaan. Pilihan jentera, kehadiran maskot, kaedah pelepasan dan penyertaan golongan kurang upaya, merupakan antara elemen menarik kepada perlumbaan ini. Malah kesediaan Perodua menyediakan kemudahan yang diperlukan, turut membantu penganjuran kali ini.
Selepas mengharungi cabaran selama 24 jam, pasukan Spiderholic dari Kelas J3 dengan jentera Honda Today, muncul selaku juara keseluruhan selepas berjaya melakukan 423 pusingan. Mewakili kem Malaysia adalah pasukan Infinite KM dari Kelas M3 dengan Kelisa Gino, yang menduduki tangga keenam keseluruhan dengan 405 pusingan. Daripada jumlah penyertaan yang diterima, hanya 3 buah jentera gagal beraksi sehingga hujung saingan.
K Car Global Sepang 24hours Endurance Race dijangka kembali pada tahun 2021. Nantikan!
Foto: Ishraqi @ Tune Photography / Aie Mins @ Perotography