Kembali selepas cuti perayaan yang panjang, pasukan Estrada Motorsport By Pulzar Malaysia perlu mengharungi cabaran perlumbaan MSF Super Turismo (Pusingan 3) baru-baru ini.
Asrul Ali #636 yang bersaing dalam kategori Super 1500, menduduki tempat ke-2 dalam kelas dan memulakan perlumbaan di kedudukan ke-10 dalam Kumpulan 1. Bermula dengan baik, beliau berjaya menduduki tempat pertama di peringkat awal perlumbaan. “Kami bergelut dengan masalah brek dan cengkaman sejak sesi kelayakan. Sepanjang perlumbaan ini, saya perlu membrek lebih awal dari yang sepatutnya. Selepas hentian pit, saya jatuh di kedudukan ke-2 dalam kelas hingga tamat perlumbaan. Apa pun, saya berjaya memberikan saingan dan akan lebih bersedia pada pusingan akan datang. Terima kasih kepada JSeventy One Garage, Estrada Motorsport dan Pulzar Malaysia kerana terus menyokong.”
Menamatkan perlumbaan di tempat ke-7 dalam kelas Saga Cup Casual dan ke-2 untuk kelas Ladies Cup Saga, Sharina cuba berkongsi pengalamannya dalam perlumbaan kali ini. “Saya lebih selesa dengan jentera selepas kru pasukan, berjaya menyelesaikan beberapa masalah teknikal sebelum ini. Bermula di kedudukan ke-17 dalam kelas, saya terus meluru sebaik lampu bertukar hijau. Namun ketika hentian pit, jumlah kereta yang banyak menyebabkan saya kehilangan hampir 40 saat akibat tersekat di laluan masuk. Walaupun terlepas kedudukan podium, saya positif untuk perlumbaan seterusnya kerana berjaya memperbaharui catatan masa peribadi.”
Agak mengecewakan apabila Toyota Starlet #969 tidak dapat berlumba dalam pusingan ini. Menurut Fadhlan, “Berdasarkan pusingan terdahulu, kami jangkakan kedudukan podium untuk pusingan kali ini. Malangnya, kami berdepan masalah teknikal yang perlukan lebih perhatian. Bagi mengelak sebarang risiko, kami putuskan untuk tidak menyertai perlumbaan kali ini. Kami akan kembali di pusingan seterusnya untuk kedudukan podium.”
“Dengan sedikit peningkatan pada Honda Jazz #619, beberapa keputusan positif berjaya diperolehi dari perlumbaan ini. Walau bagaimanapun, kami perlu meningkatkan usaha untuk menjadi pesaing di peringkat podium,” kata pengurus pasukan Aliff Azreel.
Foto: Tomalique @ Speed legacy
N.E.S Oil Seal SDN BHD (213523-K)
660, Batu 4, Jalan Ipoh,
51200 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 603-6257 4549 , 603-6257 4540
Mr. Chew 016-663 1221
Mr. Lim 012-502 0313
Mr. Por 012-509 0870
Email: enquiry@nesos.com.my
FB: www.facebook.com/pulzarmalaysia
Insta: www.instagram.com/pulzarmalaysia/
Website: www.pulzaroil.com