Perodua secara rasminya telah melancarkan model SUV terbaru Arus, selepas pengenalan model Kembara dan Nautica sebelum ini. Ia merupakan saduran kepada model Toyota Rush dan Daihatsu Terios, dengan sikit perubahan dari segi penampilan bagi membentuk identiti tersendiri.
Perodua Aruz merupakan SUV 7-tempat duduk yang dikuasakan oleh enjin 2NR-VE bersesaran 1.5-liter. Ia menggunakan konfigurasi pacuan roda belakang, menerusi kotak gear automatik 4-kelajuan. Diklasifikasikan sebagai kenderaan cekap tenaga, Aruz mampu menawarkan kadar guna petrol sehingga 15.6km/liter.
Ruang dalam diberi rekaan lebih segar, khususnya di bahagian papan pemuka. Ia turut dilengkapi sistem info hiburan dengan skrin sesentuh, slot USB, slot SmartTAG, pengawal hawa dingin digital, juga salur penghawa dingin untuk penumpang belakang.
Ciri keselamatan juga dititikberatkan. Antaranya 6-beg udara, bantuan brek ABS & EBD, bantuan pendakian, sistem Isofix, termasuk kawalan kestabilan VSC. Bagi varian AV, ia turut dilengkapi sistem Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang telah dinaik taraf.
Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 X dan 1.5 AV. Ia boleh dimiliki pada harga RM72,900 dan RM77,900 (atas jalan tanpa insurans), sekaligus meletakkan ia sebagai model SUV mampu milik di negara ini.