Bila bercerita pasal Felda, kita mungkin bayangkan sebuah kawasan tanaman sawit yang luas dan mendamaikan. Golongan penduduknya terdiri daripada generasi setengah abad yang keras berusaha memajukan keluarga. Dari segi kemasyarakatan pulak, hampir kesemuanya saling mengenali antara satu sama lain, sekaligus membentuk keluarga besar yang harmoni.
Seperti yang sering digembar-gemburkan, sebahagian besar generasi kedua Felda tidak berminat untuk menetap atau mencari nafkah di tempat asal mereka. Tak boleh raver katanya, baik kerja kilang kat Klang. Janji dapat beli arejek. Namun persepsi tersebut segera berubah selepas berkenalan dengan Pone dan rakan-rakannya di Felda Panching Utara, yang masih yakin untuk terus tinggal di sini.
Pone sebenarnya seorang pomen yang mengusahakan bengkel membaiki jentera berat di kawasan Feldanya. Dalam masa yang sama, beliau ada menyimpan sebijik CP9A EVO VI sebagai jentera mainan. Kerana kebolehan beliau dalam dunia baik pulih dan modifikasi, ia segera menarik minat rakan-rakan EVO yang lain untuk berkampung di sini. Lantas mewujudkan pemandangan yang jarang kita lihat, bagaimana kawasan Felda seperti ini boleh dipenuhi dengan keluarga EVO!
Dari sebuah model asas, penampilan kereta ini telah ditingkatkan lagi menerusi pemasangan bumper depan Varis yang lebih agresif. Diselitkan juga sepasang lampu projektor Cibie, cermin sisi Ganador, serta spoiler boleh laras ARC yang dipasangkan pada unit spoiler asal.
Ruang roda pulak mengandungi set rim Volk Racing CE28 yang digabungkan bersama tayar Achilles ATR bersaiz 235/45ZR17. Sistem brek Brembo asal masih dikekalkan, namun diperkuatkan semula dengan rotor dan pad brek dari Project U. Sebagai pelengkap, sistem gantungan juga telah dinaik taraf menggunakan set suspensi dari Tein.
Memiliki sesuatu yang sudah sedia baik, tidak bermakna Pone harus berpuas hati dengannya. Tak panggil pomen la kalau chain block yang ada, dibiar berkarat macam tu ajer. Lepas enjinnya ditarik keluar, keseluruhan ruang ini telah dicat semula dengan kaler hijau muda. Enjin kemudian dirombak, untuk mengembalikan semula kuasa yang telah hilang. Ia melibatkan penempatan beberapa komponen penting seperti crankshaft 2.2-liter, conrod BC dan piston Wiseco 86mm. Tidak ketinggalan proses port & polish kepala silinder, penggunaan camshaft Kelford 272°, spring injap dan retainer BC, lifter hidraulik jenis solid, serta sepasang cam pulley dari Tomei.
Sistem pendesak mendapat khidmat turbo TD05H 20G yang disangkut pada manifold turbo kustom. Jumlah tekanan yang terbentuk di bahagian ini dirembes keluar menerusi wastegate Tavorn 40mm. Proses sejukan dibantu intercooler HKS yang lebih besar dan bersambung menggunakan paip intercooler aloi RalliArt. Sementara boost yang tidak digunakan, akan dilepas semula melalui injap pelepas HKS Racing Type II.
Penyampaian bahan api ditugaskan kepada pam bertekanan tinggi Walbro 450. Dari sini, ia ditembak menggunakan injektor FIC 850cc ke kebuk pembakaran, dengan unit regulator Sard mengawal kadar tekanan dan balikan semula. Kuasa letusan datang dari koil jenis COP dari enjin K Series. Memastikan talaan enjin yang lebih sempurna, unit ECU menerima pemetaan TephraMode Version 7 terkini, dan mampu menjana kuasa sehingga 412hp. Laju sangat dah tu…
Hampir kesemua komponen dalaman masih berada pada kedudukan asal. Benda dah premium, takkan nak bukak pulak. Yang Pone tukar hanyalah meter utama RalliArt, stereng Momo RalliArt serta tombol gear CF RalliArt. Tersemat di ruang tengah dashboard adalah gugusan tiga meter Defi untuk tujuan pemantauan, termasuk sebuah meter rpm dengan lampu tukaran gear Defi.
Sapa kata anak Felda tak boleh maju? Walaupun tinggal di ladang sawit, Pone telah buktikan yang ia bukan penghalang untuk beliau memiliki sebuah kereta berprestasi dan meminati dunia modifikasi…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Shaiful Haizar (Pone)
- Pengeluar – Mitsubishi
- Model – Lancer CP9A EVO VI
- Tahun – 2000
- Enjin Asal – 4G63T
- Modifikasi Enjin – Crankshaft 2.2-liter, conrod BC, piston Wiseco 86mm, stud ARP, port & polish kepala silinder, camshaft Kelford 272°, spring injap & retainer BC, lifter hidraulik solid, cam pulley Tomei, kotak udara Carbin, penapis udara Apexi, TD05 20G, manifold turbo kustom, wastegate Tavorn 40mm, intercooler HKS, paip intercooler aloi RalliArt, injap pelepas injap pelepas HKS Racing Type II, pengawal boost manual Works, pam Walbro 450, injektor FIC 850cc, regulator Sard, koil COP K Series, pemetaan ECU TephraMode Version 7, radiator aluminium Koyo, plet penyejuk ARC, tangki perangkap minyak GReddy
- Transmisi – Sistem pacuan AWD, kotak gear LSD RalliArt, klac plet berkembar QM Racing
- Ekzos – Paip kustom 3-inci, muffler Apexi
- Luaran – Bumper depan Varis, lampu projektor Cibie, cermin sisi Ganador, spoiler boleh laras ARC
- Suspensi – Tein HA
- Brek – Brembo, rotor & pad brek Project U
- Rim & Tayar – Volk Racing CE28 17-inci & Achilles ATR 235/45ZR17
- Dalaman – Meter utama RalliArt, stereng Momo RalliArt, tombol gear CF RalliArt, meter Defi, pemasa enjin GReddy
- Bengkel – Panching Auto Garage, Sg. Panching Utara, Kuantan