Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah meraikan 405 buah Volkswagen Beetle dari seluruh negara dalam acara Beetle: An Iconic Gathering yang berlangsung di Putrajaya pada 13 Julai yang lalu. Ia dimulakan seawal pagi melibatkan 138 buah Beetle yang berkonvoi melalui jalan-jalan utama di Kuala Lumpur, sebelum bergerak ke tapak acara di Putrajaya.
Pengarah urusan VPCM, Erik Winter telah merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pemilik Beetle yang datang sejauh Perlis dan Johor. “Ia adalah saat yang emosional apabila melihat barisan Beetle pelbagai model hadir ke acara ini. Saya percaya, mereka juga berkongsi sentimen yang sama. Kereta ini telah menyatukan semua lapisan masyarakat, dan mereka berkumpul atas minat yang bersama. Terima kasih kepada semua pemilik, juga kepada kelab kereta Beetle dan komuniti Volkswagen klasik kerana menjayakan acara ini.”
Perhimpunan ini bukan saja memberi peluang kepada pengunjung meraikan keunikan warisan Beetle, tapi turut diisi dengan pelbagai aktiviti lain seperti persembahan pentas, trak makanan, jualan alat ganti, sesi pandu uji, serta aktiviti riadah seisi keluarga. Tidak ketinggalan pemilihan anugerah ‘Best in Show’, serta anugerah ‘Most Liked Car’ berdasarkan undian tertinggi di media sosial.
Pihak VPCM turut mengambil peluang mempamerkan model ‘Beetle Collector’s Edition’ yang baru dilancarkan. Datang dengan pelbagai aksesori bernilai RM12,000, ia adalah model Beetle terakhir yang dikeluarkan oleh kilang Volkswagen di Puebla.