D1GP All Star Shoot Out merupakan acara pertunjukan, sebelum perlumbaan sebenar siri D1 Grand Prix 2019. Diadakan di litar khas Odaiba Tokyo pada 23 & 24 Mac yang lalu, ia berjaya menarik hampir 29 ribu pengunjung sepanjang acara berlangsung.
Perlumbaan dijalankan dalam dua pusingan selama dua hari berturut-turut. Seramai 18 orang pelumba terbaik dari siri D1 Grand Prix 2018 telah mengambil bahagian. Antaranya Daigo Saito, Naoto Suenaga, Masashi Yokoi, Naoki Nakamura, Masato Kawabata, termasuk Miki Takagi, Sayaka Shimoda dan Kisaragi Awano yang mewakili pelumba wanita. Tidak ketinggalan lagenda Ken Nomura dan Nobushige Kumakubo, yang hadir untuk sesi pertunjukan.
Setiap peserta perlu beraksi secara solo dalam pusingan Tanso Battle, untuk menempatkan diri di kedudukan lapan terbaik. Mereka kemudian akan bersaing di pusingan Tsuiso Battle, untuk penentuan juara. Sebagai tambahan diadakan juga perlumbaan kalah mati Shotgun Tournament, yang memerlukan peserta melakukan aksi drift dengan catatan masa terpantas.
Perlumbaan sebenar D1 Grand Prix 2019, akan berlangsung di Litar Tsukuba pada 29 & 30 Jun nanti. Layari www.d1gp.co.jp untuk maklumat lanjut.
Foto: Perfect Edge Motorsports / Sunpros Co Ltd