PROTON, jenama automotif nasional, melangkah ke pasaran kenderaan elektrik (EV) dengan pelancaran Proton e.MAS 7, EV pertama negara. Pelancaran bersejarah ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang menandakan komitmen negara ke arah mobiliti lestari dan pengurangan jejak karbon. Proton e.MAS 7 juga menjadi pemangkin dalam merealisasikan matlamat Malaysia untuk mencapai status sifar emisi menjelang 2050.
Hadir sama pada majlis pelancaran adalah beberapa pemimpin negara termasuk YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri, serta menteri-menteri kabinet lainnya. Para pemegang saham PROTON juga turut hadir, termasuk Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Jerry Gan Jiayue dari Geely Auto Group, serta eksekutif utama PROTON seperti Tan Sri Syed Faisal Albar dan Dr. Li Chunrong.
Proton e.MAS 7 merupakan hasil kerjasama teknikal antara PROTON dan Geely, dengan lebih 700,000 jam dalam penyelidikan dan pembangunan, serta ujian perjalanan sejauh 100,000 km di pelbagai lokasi dan cuaca Malaysia. Model ini menampilkan inovasi terkini dengan sistem propulsi elektrik 12-in-1, serta teknologi bateri generasi baru, Aegis Short-Blade, yang menawarkan keselamatan dan kecekapan tinggi.
Dengan tagline ‘Intelligence that Electrifies’, Proton e.MAS 7 hadir dalam dua varian, Prime dan Premium, yang masing-masing menawarkan julat bateri antara 345 km hingga 410 km. EV ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu L2-ADAS, kamera 360 darjah, dan mendapat penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP untuk keselamatan. Sistem pengecasannya juga pantas, membolehkan pengecasan 30-80% dalam 20 minit.
Di dalam kabin, Proton e.MAS 7 menawarkan pengalaman pemanduan yang selesa dengan tempat duduk aliran udara, ruang kaki yang luas, serta sistem bunyi Flyme Sound dengan 16 pembesar suara. Paparan skrin sentuh 15.4 inci 2.5K dilengkapi dengan peta pengecasan, yang membolehkan pemandu mencari lebih 1,700 lokasi pengecasan di seluruh Malaysia. Kerjasama dengan pengendali pengecas utama seperti Gentari, JomCharge dan chargEV memudahkan akses kepada infrastruktur pengecasan.
Dengan harapan untuk mengulangi kejayaan SUV PROTON di pasaran, PRO-NET bercita-cita tinggi untuk memastikan Proton e.MAS mendapat tempat dalam pasaran EV yang kompetitif. PRO-NET merancang untuk mengeksport model ini ke negara-negara seperti Singapura, Trinidad & Tobago, Mauritius, dan Nepal pada tahun depan.
Sebagai sebahagian daripada tawaran pelancaran, pelanggan pertama akan menerima pakej istimewa bernilai sehingga RM8,000. Pakej tersebut termasuk pengecas rumah 7kW percuma, adaptor V2L, data internet tanpa had selama 5 tahun, dan jaminan kereta selama enam tahun tanpa had kilometer. Proton juga menawarkan kadar faedah istimewa 1.98% melalui Proton Commerce.
Harga atas jalan untuk Proton e.MAS 7 Prime bermula dari RM109,800 di Semenanjung Malaysia, manakala varian Premium dijual pada harga RM123,800. Untuk 3,000 pelanggan pertama, akan menerima harga diskaun dengan rebat RM4,000, menjadikan harga untuk e.MAS 7 Prime hanya RM105,800 di Semenanjung Malaysia. Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat tempahan melalui aplikasi Proton e.MAS yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store, atau Huawei App Gallery.