Setelah hampir tiga tahun Geng Autoshow Perak (GAP) tidak menjayakan acara kereta, kali ini GAP kembali menggamatkan dunia modifikasi kereta dengan menganjurkan program GAP Comeback 2022.
Diadakan di RTC Gopeng di negeri Perak, program ini berjaya menghimpunkan sebanyak 280 buah kereta Gathering dan 80 buah kereta Audio Show serta Autoshow. Kawasan berbumbung RTC Gopeng Perak menjadi lokasi pilihan kali ini kerana prasarananya jauh lebih baik dan mudah untuk para peserta juga pengunjung hadir.
Kemeriahan program kali ini turut disertai para peserta dari jauh dan bukan yang berhampiran sahaja. Bagi memeriahkan lagi penganjuran program ini, pelbagai aktiviti sampaingan turut disediakan antaranya seperti Sepak Takraw Berkain Pelikat dan Balut Mumia.
Sebanyak lima kelab dan komuniti berjaya menghadirkan diri pada penganjuran program kali ini. Pemenang kelab teramai jatuh kepada WMCM Perak, tempat kedua pula menjadi milik GSM Perak dan X50 Motorsport Club Malaysia menduduki tempat ketiga.
Program ini secara tidak langsung menjadi penutup untuk tahun 2022. Semoga bertemu di tahun hadapan dengan lebih banyak program yang bakal diadakan. Akhir kata, tahniah semua!