Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, crossover elektrik cenderung menjadi pilihan peminat kereta khususnya yang sudah berkeluarga. Antara crossover elektrik yang tersenarai sebagai paling diminati ialah Hyundai Ioniq kerana prestasi, pengecasan dan juga ruang yang lebih luas. Kini, Hyundai Ioniq 6 meneruskan lagi momentum yang dibawakan Hyundai Ioniq 5 terutamanya dari segi gaya dan reka bentuknya.
Hyundai mendedahkan teknologi yang digunakan di sebalik Ioniq 6 ini dan sudah pastinya biasa dilihat oleh peminat Ioniq 5. Salah satu sebabnya, sedan ini menggunakan platform yang sama sebagai crossover iaitu Electric Global Modular Platform (E-GMP), yang membolehkan bateri bersaiz pelbagai skala, RWD atau AWD, lantai mendatar dan juga perkadaran spesifik-E. Menurut Motor1, Ioniq 6 bakal memasuki produksi global pada suku tahun ketiga 2022. Hyundai masih belum memberikan tarikh pelancaran tepat tetapi sesetengah laman web di US mengesahkan ia menjadi model tahun 2024.
Teknologi Elektrik
Menggunakan kejuruteraan E-GMP, Ioniq 6 bakal ditawarkan untuk dua saiz bateri litium-ion : 53.0 atau 77.4 kW-jam. Bukan itu sahaja, ia juga ditawarkan dalam standard RWD (rear-wheel drive) menerusi motor tunggal atau pilihan dwi-motor AWD (all-wheel drive). Menurut Motor1 lagi, sedan Ioniq 6 ini lebih cemerlang dengan nilai WLTP maksimum 610km apabila dilengkapi dengan motor tunggal dan bateri 77.4-kWh lebih besar. Mengatasi maksima WLTP crossover iaitu 507km.
Ioniq 6 dijangkakan boleh pergi sejauh 350 batu pada sekali pengecasan dengan motor tunggal apabila diuji oleh pihak kerajaan. Manakala untuk AWD, Ioniq 6 mungkin mencecah sehingga 300 batu julat penilaian EPA, lebih sedikit berbanding crossover Ioniq 5 yang hanya mencecah sehingga 256 batu. Bagi kombinasi bateri kecil dan RWD, ia mungkin boleh mencecah 250 batu.
Kemudahan Pemandu
Sebagaimana yang dapat dilihat menerusi gambar rasmi Hyundai Ioniq 6 2024 seperti yang didedahkan Motor1, bahagian kabin dipadatkan dengan pelbagai teknologi. Di bahagian tengahnya terdapat pemapar skrin sesentuh 12.0-inci yang dipadankan dengan kluster instrumen digital yang berhadapan dengan pemandu. Sistem navigasi dilengkapi dengan peta berdasarkan masa sebenar pada trafik, bentuk muka bumi dan caj yang perlu dibayar.
Bagi memenuhi keperluan technophile, Ioniq 6 menyediakan 4 set USB-C dan satu slot USB-A, salah satu ciri yang dipertingkatkan dari kabin Ioniq 5. Apple CarPlay dan Android Auto adalah standard. Antara ciri-ciri lain yang menarik ialah sistem lampu ambien dengan 6 pra-set yang boleh diubahsuai mengikut kehendak pemilik. Terdapat juga mode Speed Sync untuk mengubah pencahayaan setiap kali kelajuan meningkat yang dipercayai menambahkan rasa teruja dan keseronokan ketika memandu.
Ioniq 6 ini dikatakan mempunyai rekaan bunyi aktif elektrik (e-ASD) di mana terdapat corong-corong bunyi seperti kapal angkasa ke bahagian kabin yang dilaras secara automatik berdasarkan mode pemanduan. Jika ia mempunyai persamaan dengan Ioniq 5, bunyinya pasti kedengaran lebih seronok dan futuristik.
Rancangan Masa Hadapan
Sebagaimana yang dimaklumkan, Hyundai masih belum bersedia untuk mengumumkan tarikh yang tepat untuk melancarkan model untuk tahun 2024 ini. Namun, Ioniq 6 dikatakan bakal memasuki produksi di penghujung September 2022 serta dijangka bakal berada di pasaran tempatan Korea Selatan sejurus selepas itu dengan pelancaran global menyusul beberapa bulan selepas itu.
Sumber : Motor1