Honda Malaysia mengumumkan pengenalan sebuah MPV tujuh tempat duduk, Odyssey facelift baharu ke pasaran Malaysia. Harga bermula dari RM275,311.00, Odyssey ini merupakan sebuah model CBU yang dipasang sepenuhnya Jepun.
Diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 1994, Odyssey memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2003 dan menjadi sebuah MPV 7-tempat duduk premium yang paling dikenali di negara ini. Sejak itu, Honda Malaysia telah menjual hampir sebanyak 2,000 unit Odyssey.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia. Ms. Madoka Chujo berkata, Odyssey facelift baharu ini diperkenalkan untuk memenuhi kehendak para pelanggan seperti yang berkeluarga besar dan juga eksekutif yang mahukan MPV 7-tempat duduk yang mewah serta selesa dipandu, dihiasi dengan eksterior elegan dan ciri-ciri utiliti semua dalam satu pakej. Tambahan pula, dengan eksterior dan interior premium yang dipertingkatkan akan memberikan keseronokan memiliki sebuah MPV 7-tempat duduk mewah dari Honda.
Tidak dinafikan, Odyssey facelift baharu ini mewarisi DNA dari model terdahulu yang terserlah menerusi rekaan eksterior yang cukup memukau. Di bahagian hadapan, Odyssey facelift baharu ini dimuatkan dengan New Front Grille, New LED Head Light dengan Position Light dan juga New Front Bumper Design agar tampil lebih elegan.
Di bahagian belakangnya juga turut mendapat sentuhan yang tidak kurang memukau. Ia juga dilengkapi dengan New Tail Light Design dan New Rear Bumper Design yang mempercantikkan lagi penampilannya. Melengkapi eksterior yang gah ini adalah rim aloi baharu 17” dengan rekaan baharu di bahagian hadapan dan di bahagian belakangnya dilengkapi dengan Rear Sequential Turn Signal Lights.
Baiklah, Odyssey facelift baharu ini benar-benar telah dipercantikkan rekaan di bahagian depan dan belakang, seterusnya menghasilkan stance dominan yang lebih tajam serta lebar. Penampilan eksterior yang elegan ini diteruskan lagi dengan kemaskini di bahagian interior yang premium. Ciri-ciri ini dapat dilihat menerusi rekaan dashboard baharu termasuk bahagian letak barang yang semestinya memudahkan pengguna.
Pada bahagian dashboard ini dilengkapi pula dengan meter TFT 7” dan Advanced Display Audio 8” baharu. Meter TFT 7” ini memberikan informasi yang jelas dan sokongan keselamatan yang telah dipertingkatkan untuk kemudahan dan kegunaan ketika berada di atas jalan raya.
Sementara itu, Advanced Display Audio 8” baharu ini disambungkan pula dengan Apple CarPlay dan Android Auto, membolehkan para pemandu terus berhubungan dengan aplikasi telefon pintar ketika di atas jalan raya. Dikenali menerusi ruang kabin yang luas serta menawarkan keselesaan serta serba guna, menjadikan Odyssey facelift ini MPV pilihan paling ideal untuk keluarga serta kegunaan eksekutif yang mahu menikmati pemanduan mewah. Selain itu, ia turut menawarkan interior kulit di mana di barisan keduanya dimuatkan dengan Captain Cradle Seat serta Ottoman untuk lebih selesa.
Tempat duduknya boleh dilipat ke depan atau ke belakang, yang mana lebih fleksibel untuk memenuhi konfigurasi pelbagai demi mengoptimakan susunan tempat duduk mereka mengikut kehendak dan kesesuaian. Bagi memberi lebih kemudahan kepada pemilik, Odyssey facelift kini dilengkapi dengan Hands-free Power Tailgate di bahagian belakang dengan sensor kick di bawah bampar untuk mudah memasuki bahagian belakang tanpa perlu membuka tailgate.
Odyssey facelift baharu ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri pemanduan keselamatan terkini seperti Honda SENSING. Sebagaimana yang diketahui, Honda SENSING ini menampilkan beberapa ciri menarik termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).
Bagi memperkasakan lagi ciri-ciri keselamatan pada Odyssey facelift baharu ini, Honda mengekalkan beberapa ciri seperti Multi View Camera System with Smart Parking Assist, Blind Spot Information, and Cross Traffic Monitor. New Odyssey ini ditawarkan dalam tiga warna elegan dan menarik iaitu; Platinum White Pearl, Premium Twinkle Black Pearl dan Super Platinum Metallic.
Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan, sila kunjungi wakil-wakil pengedar sah Honda seluruh Malaysia atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020.