Bertempat di Litar Rakyat Kuala Selangor telah berlangsungnya Ampang Test & Training Season V5 yang diadakan pada 31 Oktober lalu. Penganjuran kali kelima ini dianjurkan oleh Ampang Racing Team dengan kerjasama BRX Time Cartel. Sebanyak 13 kategori telah dipertandingkan dengan 102 jumlah keseluruhan penyertaan bagi merebut tempat pertama sehingga tempat kelima untuk setiap kategori. Para pemenang yang bertuah membawa trofi kemenangan bersama hadiah iringan berupa set pencuci dan pengilat tayar sumbangan pihak penaja iaitu Tokey Sabun.
Pertandingan bermula seawal 09.00 pagi dengan sesi pendaftaran dan diteruskan dengan sesi taklimat mengenai undang-undang pertandingan, keselamatan dalam dan luar litar oleh team Marshall yang diakhiri dengan bacaan doa oleh wakil penganjur. Pertandingan kali ini juga menarik minat pelbagai pihak di mana rata-rata yang hadir datang dari seluruh semenanjung serta menunjukkan peningkatan penyertaan muka-muka baru dalam sukan permotoran grassroot. Ini membuktikan perlumbaan grassroot kian mendapat tempat di kalangan peminat permotoran.
Selain itu, sukan perlumbaan rakyat seperti ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan gejala samseng jalanan yang dikatakan kian menular di kalangan belia setempat. Disamping itu, penganjuran sukan permotoran seperti ini juga dapat mencungkil bakat yang ada untuk diketengahkan di masa hadapan jika mendapat sokongan dari pihak berwajib.
Perlumbaan kali ini melabuhkan tirai pada jam 7:00 petang di mana diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada semua pemenang. Lebih menarik lagi, pertandingan kali ini juga menawarkan empat piala khas iaitu Fastest Time, Racer Kental, The Best Track Cardan Best Driver dan bagi kategori Ampang Group, pemenang akan menerima piala beserta hadiah iringan bagi tempat pertama hingga ke 15. Pengisian kali ini juga telah diadakan cabutan bertuah di mana menawarkan hadiah berupa hamper kepada yang bertuah.
Pada perlumbaan kali ini juga dihadiri oleh tetamu VIP dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Selangor iaitu Pegawai Sukan Tuan Ibrahim bin Bujang berkenan untuk sama turun padang meninjau dan beramah mesra bersama peserta yang bertanding. Sesuatu yang amat membanggakan di mana para peserta dan pengunjung yang hadir telah memberi kerjasama yang cukup baik dengan pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan dalam keadaan negara masih lagi dalam gejala pandemik Covid-19.
Akhir kata, pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada penaja utama iaitu Tokey Sabun kerana sudi memberi penajaan pada perlumbaan kali ini. Tahniah kepada para peserta, semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam perlumbaan kali ini. Tahniah kepada semua pemenang dan yang tidak bernasib baik, boleh cuba di perlumbaan akan datang. Jumpa di Litar Dato’ Sagor. Sekian
Teks & Gambar: Jesse & Raziman Pico (F Tuned Media)