SOCAR Mobility Malaysia (SOCAR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengumumkan satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memanfaatkan perkongsian data permintaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia sebagai sebahagian daripada kerjasama mereka untuk mendorong penggunaan EV. Usaha ke arah menggalakkan pengguna EV tersebut adalah sejajar dengan usaha negara serta global bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada sektor pengangkutan, yang dianggarkan menyumbang kira-kira 21% pelepasan gas karbon dioksida di Malaysia.
MoU berkenaan menggariskan pelan TNB untuk memanfaatkan data penggunaan kenderaan dan tabiat perjalanan milik SOCAR bagi mengenal pasti lokasi strategik di sepanjang laluan-laluan utama untuk pemasangan infrastruktur pengecasan. Data permintaan yang dikongsikan akan menentukan lokasi, jumlah serta jenis pengecas yang perlu dipasang, termasuk pengecas pantas arus terus (DC).
SOCAR, dengan kepakaran menguruskan flit dan sumber datanya yang luas, menyasarkan untuk menambah kekuatan flitnya kepada ratusan EV dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Ini termasuklah pelancaran sehingga 50 zon EV menjelang penghujung tahun 2022.
Dengan menawarkan EV di dalam platform perkongsian kereta miliknya, SOCAR menyasarkan untuk memperkenalkan gaya hidup EV kepada orang ramai dengan memudahkan lagi akses kepada EV, menangani kekangan seperti kos pemilikan yang menghalang para pemandu daripada memilih untuk beralih kepada EV.
Pangkalan data penggunaan perkongsian kereta yang komprehensif milik SOCAR akan dijadikan sebagai asas bagi memilih model EV yang sesuai untuk dilancarkan dan juga lokasi zon EV yang baru, berdasarkan kepada pilihan pemanduan dan gaya penggunaan kenderaan di kalangan rakyat Malaysia. Usaha untuk membentuk satu pengalaman pemanduan EV yang positif disasarkan untuk seterusnya menarik minat lebih ramai lagi pengguna baru yang akan memacu momentum penggunaan EV.
Di Malaysia, kadar penembusan EV yang rendah, di mana EV merangkumi kurang 0.05%2 daripada anggaran 14.5 juta kereta peribadi berdaftar3 di negara ini, mewujudkan ruang yang lebih luas untuk pertumbuhan dari segi penggunaan, jika model perkongsian kereta dapat membantu mendidik para pengguna mengenai betapa mudahnya penggunaan EV.
“Di TNB, kami menyokong gerakan e-mobiliti dalam sektor pengangkutan bagi menggalakkan penggunaan EV yang lebih tinggi di negara ini. Dengan agenda perniagaan kami yang berteraskan kelestarian, kami sedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan yang berkongsi matlamat sama seperti DHL Express Malaysia dan SOCAR dalam menjayakan inisiatif mobiliti rendah karbon. TNB bersedia memainkan peranan utama dalam memacu penggunaan EV di Malaysia, terutama di kalangan pengendali pengurusan flit dan salah satu daripada langkah utama bagi mencapai matlamat ini adalah dengan memperbanyakkan lagi zon pengecasan EV yang akan digunakan secara optimum berdasarkan maklumat sedia ada mengenai penggunaan laluan perjalanan,” kata Ketua Pegawai Peruncitan TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.
“Kerjasama dengan SOCAR kali ini adalah lebih meluas, berbanding kerjasama kami pada Disember 2019 apabila TNB menjadi pembekal tenaga untuk dua zon EV pertama SOCAR di Cyberjaya dengan pengenalan sulung EV ke dalam flit mereka. Menerusi kerjasama ini, kami yakin dapat memupuk lebih banyak lagi minat di kalangan penggiat lain dalam ekosistem infrastruktur EV bagi memantapkan lagi sinergi persekitaran perniagaan yang akan memberi manfaat kepada komuniti EV secara keseluruhannya,” kata Megat.
Jelas Foong, para pemilik EV menganggarkan bahawa dengan infrastruktur pengecasan yang sedia ada ketika ini, sebuah Nissan LEAF akan mengambil masa 24 jam untuk menyempurnakan pemanduan sejauh 1,000km dari Johor Bahru ke Kota Bharu4. Manakala, sebuah Mini SE akan memakan masa 20 jam dengan 8 jam dihabiskan untuk tujuan pengecasan sahaja.
“Bagi mengatasi halangan ini, setiap negeri di semenanjung perlu memiliki stesen pengecasan pantas DC 150kW di sekurang-kurangnya satu hab perjalanan utama, bagi memudahkan perjalanan antara bandar. Ini menunjukkan betapa pentingnya pembentukan pelan pembangunan strategik infrastruktur pengecasan EV bagi mencapai nisbah bilangan pengecas pantas kepada EV yang ideal. Akhir sekali, negara perlu menyasarkan metrik bekalan tinggi yang mementingkan pemasangan pengecas DC di samping memastikan nisbah kecukupan bekalan kekal optimum. Dengan adanya lebih banyak lagi infrastruktur pengecasan di lokasi-lokasi tumpuan perjalanan jarak dekat dan sederhana, kita mempunyai cara yang baik untuk memperkenalkan penggunaan EV kepada masyarakat bagi memenuhi keperluan mobiliti bandar mereka,” tambah beliau.
Memandangkan pendidikan jangka panjang, infrastruktur yang mencukupi dan kos bateri yang lebih rendah adalah faktor utama ke arah menggalakkan penggunaan EV di Malaysia, kerjasama di antara SOCAR dan TNB ini adalah penting dalam usaha memastikan orang awam dapat merasai sendiri pengalaman sebenar menggunakan kereta elektrik di dalam kehidupan harian mereka. Inisiatif ini kemudiannya akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dari ekzos kereta, menandakan bermulanya revolusi hijau di kalangan pemandu di Malaysia.