Selepas berhadapan dengan masalah berkaitan telefon pintarnya di Amerika Syarikat dan disenarai hitamkan kerana memberi ancaman kepada keselamatan kebangsaan Amerika Syarikat, Huawei melihat peluang yang lebih besar di mana Huawei mampu menyalurkan kepakarannya dalam bidang teknologi.
Huawei melancarkan sistem HiCar buat pertama kalinya pada tahun 2019, sistem ini membolehkan pemandu menyambungkan kereta mereka dengan telefon pintar dan mengaktifkan ciri-ciri pada telefon pintas seperti navigasi dan bantuan pemanduan pintar. Sistem ini mencipta kejayaan tersendiri sehingga 30 jenama auto di China turut menggunakannya. Jenama-jenama terkenal seperti Volvo dan Audi juga tidak ketinggalan.
Menurut laporan, sebanyak 5juta kereta baharu dan trak ringan yang dijual seluruh China dilengkapi sistem ini.
Kini, Huawei bersedia untuk memasuki segmen kenderaan elektrik. Baru-baru ini, Huawei mengumumkan kerjasama dengan Jianghuai Automobile Co untuk membina pengesan dan kokpit pintar untuk EV generasi akan datang. GAC Motor Co. mendedahkan ia bakal membuat pelaburan sebanyak 800juta yuan untuk membangunkan kenderaan utiliti elektrik pintar dengan Huawei. Dilaporkan, kenderaan ini akan menampilkan teknologi komunikasi dan perkomputeran, memberikan autonomi Aras 4 dan dijadualkan untuk masuk pengeluaran pada lewat tahun 2023.
Bukan itu sahaja, autonomi Aras 3 dari Huawei akan dipasangkan dalam ArcFox Alpha-S baharu yang dikeluarkan oleh BAIC dan didedahkan pada April lalu di Shanghai Auto Show.
Sumber : Carscoops