Sekumpulan pemilik Toyota Vellfire telah bersatu hati untuk menubuhkan sebuah kelab atas nama Vellfire Owners Club Malaysia (VOCM). Ia direalisasikan menerusi perbincangan ringkas antara beberapa orang rakan, sebelum dibuka untuk menerima keahlian.
Penubuhan VOCM bertujuan untuk menyatukan para pemilik Toyota Vellfire dalam sebuah organisasi yang lebih tersusun. Hal ini bukan sahaja membolehkan mereka bersosial dan menambah kenalan, tapi turut menjadi platform yang berguna untuk berbincang tentang soal penjagaan, teknikal dan modifikasi.
Bagi meraikan penubuhan kelab ini, VOCM telah mengadakan program MEGA GATHERING bertempat di Putrajaya pada 18 Februari yang lalu. Ia menerima sambutan menggalakkan apabila lebih dari 60 orang pemilik Toyota Vellfire bersama keluarga masing-masing, hadir menyatakan sokongan.
Selain sesi pendaftaran, pertemuan ini juga membolehkan mereka lebih mengenali antara satu sama lain. Turut berlangsung acara sukaneka untuk kanak-kanak, cabutan bertuah dan meraikan hari jadi ahli. Kemuncak program merupakan acara pelepasan belon serta memotong kek sebagai simbolik kepada pelancaran kelab ini.