Hanya ada 555 unit kereta BMW Z8 yang dikeluarkan dan walaupun ia sangat jarang ditemui, masih ada pemilik yang mengabaikan penjagaannya. Salah satunya seperti yang dapat dilihat ini. Dimaklumkan, kereta ini dibiarkan tersimpan di bawah selubung dan tidak dicuci sejak 4 tahun lepas. Biar betul!
Jadi, tidak hairanlah kekotorannya sangat dahsyat. Bukan sahaja di bahagian luar, malah dalam bahagian kereta ini juga terlalu kotor. Aduhai, ada kereta cantik dan mahal macam ni dibiarkan kotor kenapa? Banyak duit sekalipun, takkanlah sanggup dibiarkan tidak bercuci sampai 4 tahun. Nak buat pekasam atau nak buat reban ayam tahap bangsawan?
Kereta ini telah mendarat ke kedai Larry Kosilla dari AMMO NYC dan perkara pertama yang dilakukan ialah, menyemburnya dengan sabun dan membersihkan bahagian eksterior. Proses yang sama diteruskan di bahagian enjin. Memang tak sanggup tengok kekotoran bahagian. Seterusnya, kereta ini diangkat untuk mengeluarkan rim sebelum membersihkannya dan membalut dengan seramik. Ini demi untuk memudahkan proses pencucian di masa akan datang.
Namun, bahagian yang paling sukar untuk dibersihkan adalah badan kereta. Menurut Kosilla, cat yang disapu ke atas Z8 ini agak lembut dan kebiasaannya di tempat yang paling mudah rosak seperti di bahagian fender depan yang juga agak nipis. Kerja-kerja menanggalkan segala calar mengambil masa yang agak lama tetapi hasilnya, menakjubkan. Itu yang penting, kan?
Bagi makluman varian Alpina untuk Z8 ini dilengkapi dengan enjin V8 4.8 liter dengan 375hp dan tork 383 lb-ft (519 Nm) berbanding BMW Z8 pula dilengkapi dengan enjin V8 4.9 liter dengan 395hp serta tork 369lb-ft (500 Nm). Dengan kuasa dan penampilan kereta yang macho begini, kenapa pemiliknya sanggup biarkan ia bertapa sampai 4 tahun tidak dicuci. ZALIM!
Sumber : Carscoops / AMMO NYC