Bukan kali pertama kita melihat kereta dari replika kayu dan kalau anda jenis yang rajin melayan Youtube, pelbagai channel yang menjadikan ukiran-ukiran kayu membuat automobil atau automotif ini sebagai kandungan (content). Salah satu channel yang penulis sendiri suka layan, WoodworkingArt.
Sebelum ini, beberapa kali juga video replika kayu yang telah dikongsikan di sini. Terbaharu, Youtuber ini telah memuatnaik satu lagi kerja terkininya dan ia jauh lebih baik dan lebih terperinci daripada kereta replika kayu yang pernah dihasilkannya. Pilihan beliau kali ini adalah Porsche 911 Speedster tahun 1989.
Apa yang ada pada Speedster replika kayu ini? Bukan. Soalan yang sepatutnya ditanya, apa yang tidak ada padanya selain enjin sebenar? Sekejap. Bahagian enjin juga turut dimuatkan yang juga dari replika kayu!
Tidak ada satu pun yang ditinggalkan, dari fender bulat, low-slung hood hingga dual hump fiberglass boot, semuanya ada diukir dengan sehalus-halusnya. Tidak cukup dengan itu, ia turut dilengkapi dengan pemuka dashboard dan stereng Speedster tahun 1989 yang diukir dan diletakkan dalam bahagian kereta replika kayu ini. Lebih memberikan kepuasan apabila ia turut ditampilkan dengan kayu yang yang siap dikilatkan. Kalau sembur warna merah, mungkin tak ada perbezaan langsung.
Replika ini telah disenaraikan di laman sesawang Etsy dengan harga £824 (RM4711.60) yang secara tidak langsung memberikan pulangan agak lumayan kepada youtuber in. Kalau anda mempunyai bakat yang sama, sudah tiba masanya untuk mula menghasilkan replika kayu begini.
Sumber : WoodworkingArt