Triton generasi kelima ini mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 2015, ketika para pengeluar trak utama di Thailand berlumba-lumba memperkenalkan model baru untuk jenama masing-masing. Rekaan badan baru, ciri keselamatan baru, malah enjinnya juga dibina baru dengan ciri terbaek dalam kelasnya.
Malangnya, model pasaran tempatan tidak menerima enjin baru ini. Tak sesuai katanya, memandangkan kualiti diesel kita yang agak rendah. Sudahnya pembeli di sini hanya mendapat rupa dengan enjin VGT yang lama. Dekat setahun jugaklah gitu, sehingga penilaian semula dibuat selepas mengambil kira kehendak semasa.
Keperluan dalam perniagaan menjadi alasan utama Stitch, memilih Triton ini sebagai kenderaan pilihannya. Senang sket nak angkut barang. Tapi sebab teras perniagaannya berkisar tentang grafik dan percetakan, perkhidmatan tersebut turut diterjemahkan ke atas trak ini sebagai satu cabang pengiklanan yang berkesan. Pergi memana pun, kelibatnya pasti menarik perhatian kerana tampil berbeza berbanding tema kebanyakan.
Secara dasarnya, model Triton ini boleh menang dari semua segi kecuali rupa luaran. Macam ada yang tak kena, khususnya rekaan gril, lampu dan bumper depan. Nak pakai yang Fiat Fullback macam susah sangat. Mujur ada facelift model setara yang boleh dipadankan, lantas menyelamatkan model ini dari terus tenggelam berbanding model saingan.
Yang dimaksudkan facelift Pajero Sport yang direka dengan karektor cukup garang. Nak pasang pun tak payah mana, kecuali sedikit potongan di bahagian hujung fender. Kemudian ada hood karbon Monza, unit sunroof, spoiler ducktail kustom, sport bar Triton Adventure, juga pemasangan diffuser kustom untuk depan dan belakang. Mana-mana komponen yang boleh ditanggalkan, seterusnya dihantar untuk proses balutan kain karbon. Tidak cukup dengan itu, pemilihan kaler kontra dan stiker badan unik, berjaya menyerlahkan lagi penampilan trak ini.
Memandangkan rupa badannya yang semakin gemok, pemilihan rim menjadi sangat rumit untuk dipadankan dengan gaya keseluruhan. Lepas puas berkira-kira, Stitch akhirnya memilih rim Volk Racing TE37 bersaiz 20-inci yang digandingkan bersama tayar Roadstone berukuran 275/40ZR-20 setiap satu. Itu pun nampak kecik. Di sebalik rim tersebut, tersemat set brek 6-pot dari Wilwood untuk bantuan hentian. Membolehkan ia direndahkan pada kadar yang sesuai, sistem gantungan telah digantikan dengan set suspensi boleh laras ZerOne SSR550.
Perubahan bahagian dalam kelihatan kompleks dan menjolok mata, juga akibat pilihan kaler yang agak kontra. Seperti luar, mana-mana komponen yang boleh ditanggalkan telah dihantar untuk proses balutan kain karbon. Antaranya trim pada dashboard, konsul tengah, panel pintu, pilar, termasuk stereng Pajero Sport yang digunakan. Bahagian tempat duduk digantikan dengan Recaro SR3 untuk depan, sebelum keseluruhannya dibalut semula dengan kain berwarna kuning. Paparan elektronik pula terdiri daripada set meter Defi dan unit paparan Defi ZD, termasuk meter boost dari HDi.
Triton ini dibekalkan dengan enjin 4N15 serba baru, yang kini dilengkapi teknologi lebih meyakinkan. Berkapasiti 2.4-liter, enjin dengan blok aluminum ini turut memiliki injap pemasa MIVEC serta turbo bergeometri VGT, untuk menghasilkan kuasa sekitar 181PS dan tork sekuat 430Nm.
Untuk jaminan respon lebih baik, unit turbo pada sistem pendesak telah digantikan dengan turbo IHI RHF4 (F44) yang dipertingkatkan. Disertakan juga sebuah intercooler dan lingkaran paip kustom, sebelum dihalakan ke manifold kemasukan. Bagi mengatur semula perjalanan enjin, ia telah ditala menggunakan unit piggyback Ecu-Shop Diesel Monster Max, termasuk tambahan unit Ecu-Shop Boost Speed dan pengawal boost GReddy Profec B.
Fungsi Triton ini sudah jauh berubah dari sebuah kenderaan lasak, kepada trak demo yang membawa jenama. Takde masalah pun. Cuma bila dibuat melawan arus, ia telah menimbulkan polemik tentang kewajaran ubahsuainya berbanding tema kebanyakan.
SPESIFIKASI
- Pemilik – Stitch
- Pengeluar – Mitsubishi
- Model – Triton VGT
- Tahun –
- Enjin asal – 4N15 MIVEC VGT
- Modifikasi Enjin – Turbo IHI RHF4 (F44), intercooler & paip sambungan kustom,
Ecu-Shop Diesel Monster Max, Ecu-Shop Boost Speed, pengawal
boost GReddy Profec B, radiator aluminum - Transmisi / Gearbox – Automatik
- Elektronik / ECU –
- Ekzos – Kustom
- Suspensi – ZerOne SSR550
- Brek – Wilwood
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 20-inci & Roadstone 275/40ZR-20
- Dalaman – Komponen balutan kain karbon, stereng Pajero Sport, tempat
duduk depan Recaro SR3, meter Defi, paparan Defi ZD, meter
boost HDi, bar titanium pilar C, sistem audio Pioneer Carrozzeria - Luaran – Facelift Pajero Sport, hood karbon Monza, sunroof, spoiler
ducktail kustom, sport bar Triton Adventure, diffuser kustom,
komponen balutan kain karbon - Bengkel – Tycoon Studio, Ecushop Peninsular Power Department,
Haa Spray, Mr Carbon Specialist