Toyota Motor Corp. memintas Volkswagen AG untuk menjadi pengeluar yang menjual paling banyak kenderaan pada tahun 2020. Ini merupakan kali pertama pengeluar dari Jepun berjaya menduduki tempat pertama ini dalam tempoh lima tahun. Kumpulan Toyota yang turut merangkumi Daihatsu dan Hino Motor telah menjual 9.53 juta unit kenderaan sepanjang tahun lalu.
Pencapaian itu diperoleh ketika 2020 menjadi tahun yang sangat sukar buat pengeluar kenderaan. Walaupun permintaan meningkat pada penghujung tahun, penutupan kilang dan bilik pameran membuatkan jualan jatuh 14 peratus berbanding 2019.
Menurut Persatuan Pengeluar Automobil Eropah, jualan Volkswagen mengalami kejatuhan sebanyak 24 peratus kepada kurang 10 juta unit pada tahun lepas. Jualan Toyota di peringkat global mengatasi angka Volkswagen sebanyak 223,038 unit pada tahun 2020.
Sejak tahun 2015, angka jualan Volkswagen sentiasa melepasi jualan Toyota. Namun, keputusan jualan tahun lalu kedua-dua pengeluar itu akan menjadi peranta untuk trend jangka masa lebih panjang. Walaupun Volkswagen dijangka dapat memotong Toyota pada tahun 2021, pengeluar Jepun itu mungkin dapat bertahan sehingga 2025.
Usaha Volkswagen untuk menghasilkan lebih banyak kenderaan elektrifikasi akan meningkatkan jualan pada tahun ini. Namun, perintah kawalan pergerakan dan penutupan pusat jualan yang berterusan di pasaran domestik pada tahun ini akan memberi impak negatif.
Toyota sebaliknya akan terus menikmati jualan kukuh di pasaran-pasaran utama seperti Jepun dan Amerika. Di China, Toyota seharusnya memantapkan lagi saingan dengan memperkenalkan lebih banyak model EV dan SUV bagi memenuhi permintaan tempatan.
Sumber : Mekanika