Hyundai-Sime Darby Motor melancarkan model sedan terbaharu generasi ketujuh, Elantra di pasaran Malaysia. Sedan segmen C itu ditawarkan dalam satu varian sahaja pada harga bermula RM158,888. Ia juga didatangkan dengan jaminan lima-tahun/300,000 km dan servis percuma bagi 50,000 km.
Hyundai Elantra terbaharu ini didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu putih (Polar White), biru (Intense Blue), kelabu (Amazon Grey dan Electric Shadow). Elantra tampil dengan bahasa rekaan Sensous Sportines dan elemen Parametric Dynamic. Model terbaharu ini dilengkapi gril besar berwarna hitam yang diapit oleh sepasang lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED nipis.
Bahagian belakang pula seakan-akan mengambil inspirasi model sedan lebih besar, Sonata dengan rekaan lekuk tajam dan reka bentuk lampu LED yang tidak konvensional. Sedan terbaharu ini mempunyai ukuran sepanjang 4,675 mm panjang, 1,825 mm lebar dan tinggi 1,430 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,720 mm. Selain itu, ia mendapat khidmat enjin aspirasi biasa bersesaran 1.6 liter yang mampu menjana kuasa mencecah 123PS dan tork 154Nm.
Kuasa kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan, Smartstream IVT. Rangkaian kuasa tersebut didakwa mampu menawarkan penjimatan bahan api 4.2 peratus lebih baik dan menghalang daripada enjin hilang kuasa sehingga 8 peratus. Jentera ini didatangkan dengan empat mode pemanduan iaitu Eco, Smart, Sport dan Comfort.
Memasuki ruang dalaman, Elantra menawarkan skrin kluster digital 10.25 inci dan skrin infotainmen bersaiz 8 inci yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto. Hyundai turut menawarkan dua warna berbeza bagi upholsteri dalaman, iaitu warna hitam standard dan warna kelabu (Light Grey).
Tempat duduk hadapan pula didatangkan dengan larasan lapan cara dengan dua sokongan tulang belakang, serta ciri ventilasi dan pemanasan yang turut didatangkan pada roda stereng dan juga cermin sisi. Dari segi aspek keselamatan, Elantra dilengkapi teknologi Hyundai SmartSense merangkumi ciri seperti Bantuan Kekal Laluan, Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Penumpang Belakang dan Amaran Tumpuan Pemandu.
Sumber : Mekanika