Salah satu model awal 911 S Targa telah kembali kepada Porsche dan bukan untuk disimpan dalam muzium, sebaliknya menjalani kerja-kerja restorasi seperti yang ditugaskan pemiliknya. Dihantar ke pangkuan pengedar Porsche yang sah di Dortmund pada Januari 1967 dalam keadaan masih baru, ianya digunakan sebagai kereta demo selama 2 tahun.
Selepas beberapa tahun, ia dibawa ke Amerika Syarikat. Bermula dari tahun 177 sehingga penghujung tahun 2016, ia tidak dipedulikan dan diletakkan di petak parking di Long Beach tanpa sebarang penjagaan melainkan diselimuti dengan plastik untuk melindunginya!
“Hampir 40 tahun, ianya tersadai di kawasan terbuka tidak bergaraj dan hanya dilindungi dengan plastik terpal (tarpaulin),” kata ketua program Kilang Restorasi Porsche Klasik, Uwe Makrutzki. “Pemilik seakan lupa tentang wujudnya kereta ini,” tambahnya lagi.
Baru-baru ini, kereta sport klasik ini sudah pun selesai menjalani restorasi dengan menampilkan beberapa pilihan tambahan termasuk pemanas tambahan Webasto, radio Blaupunkt Koln, sarung tempat duduk dari kulit, cermin hadapan yang siap dipasangkan filem penapis haba, lampu halogen dan juga termometer.
Proses restorasi ini memakan masa selama tiga tahun untuk selesai sepenuhnya kerana kerja-kerja mencari komponen asal akak sukar. Namun begitu, mereka tetap berjaya mendapatkan palam kedap, grommet getah dan penyepit kabel untuk kotak enjin 6 silinder 2.0 liter yang mana membina 158hp (160 PS / 118 kW) dan tork 132 lb-ft (179Nm). Paling menarik, mereka turut melengkapi kereta ini dengan atap yang boleh ditanggalkan dengan tingkap plastik atas yang lembut yang dibina menepati spesifikasi asal.
Lebih kurang 1,000 jam telah diluangkan untuk menyiapkan bahagian badan kereta ini sahaja dan apabila selesai, warna merah poli digunakan yang dicat menggunakan tangan. Warna ini dilindungi pula oleh filem dengan “matting effect” yang boleh ditanggalkan tanpa sebarang masalah walaupun sudah digunakan beberapa tahun.
Dimaklumkan, sebaik sahaja projek restorasi ini selesai, bengkel Porsche Classic ini sudah pun bersedia untuk berganjak restorasi kereta seterusnya!
Sumber : Carscoops