Sebagaimana yang diketahui, kereta muscle menjadi kegemaran para penggila modifikasi kereta khususnya yang meminati kelajuan. Jadi, apabila ditemukan sebuah kereta muscle ikonik Australia Chrysler Valiant R/T E49 Big Tank yang tidak disentuh dan kekal asli, ia memang sesuatu yang luar biasa. Apatah lagi, bila kereta ini dikatakan sedia untuk dilepaskan dan dijual kepada sesiapa yang berminat!
Difahamkan, hanya 149 unit dihasilkan di unit kilang Chrysler’s Tonsley Park yang berlokasi di Australia Selatan, Valiant Charger R/T ini dilengkapi enjin enam-baris 4.3 liter dengan karburator Weber yang memberikan 302 kuasa kuda kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 4 kelajuan BorgWarner. Satu prestasi yang belum pernah terjadi sebelum itu untuk enam silinder.
Menurut Wheels Magazine, Valiant Charger R/T E49 merupakan kereta muscle keluaran Australia yang paling pantas, mampu memecut suku batu dalam masa 14.1 saat dan mencatatkan 0-60mph hanya dalam masa 6.1 saat. Tidak melampau kalau dikatakan yang E49 ini menjadi kegilaan di kalangan peminat kereta muscle khususnya di Australia kerana prestasi dan juga keunikannya.
Walau bagaimanapun, mencari sebuah Valiant Charger R/T E49 untuk dijual adalah lebih sukar. Apatah lagi, sukar untuk melihat mana-mana iklan memaparkan E49 dengan A84 Track Pack yang dimuatkan hanya pada 21 unit dari 149 yang dibina Chrysler Australia. Pakej ini termasuk tangki bahan api sebesar 132.5 liter, kotak stereng, aloi 14 x 7 inci dan cakera serta hab tugas berat. Juga dikenali sebagai E49 Big Tank, Valiant Charger ini dianggap sesuatu yang suci di kalangan penggemar Chrysler dan pengumpul kereta muscle Australia.
Sepertimana yang dapat dilihat menerusi gambar-gambar, Valiant Charger R/T E49 tahun 1972 ini mempunyai pilihan A84 Track Pack yang tidak pernah diusik atau dimodifikasi dan dipercayai, hanya satu dari tiga Big Tank E49 masih kekal dalam keadaan asal. Menampilkan cat khas Hemi Orange dengan decal hitam, ia menggunakan roda aloy W35 asal. Lebih menarik lagi, ia pernah dimiliki oleh 3 orang sebelum ini termasuk seorang pengumpul tegar koleksi Chrysler.
Keadaan Valiant Charger R/T E49 ini benar-benar asli yang bermaksud, ia dilengkapi dengan ciri-ciri yang ada untuk sebuah kereta berusia 48 tahun termasuk karat di tempat-tempat yang sepatutnya. Bahagian interior juga masih dikekalkan berwarna hitam dan dalam keadaan yang baik. Bila pintu bonet belakang dibuka, anda akan disapa dengan sebuah tangki bahan api yang bersaiz besar bersama tayar ganti. Dalam bahasa yang mudahnya, ia memenuhi semua ruang di bahagian ini!
Apa yang istimewa, kereta ini dilengkapi laporan pengesahan dari pakar Chrysler iaitu George Rallis. Pengesahan ini termasuk nombor VIN dan nombor enjin dari Chrysler dan juga sebuah enjin Hemi/Weber Six Pack talaan secara manual. Kereta unik ini boleh dilihat di bilik pameran Australian Muscle Car Sales di Kingsgrove. Mungkin selepas tiada lagi virus covid-19?
Sumber : Carscoops