Pelancaran Volkswagen Passat, Arteon dan Tiguan Allspace Siri R Line Di Malaysia
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan siri R Line yang sentiasa dinanti-nantikan oleh penggemar jenama ini di pasaran tempatan. Sebanyak 3 model baharu dilancarkan iaitu Passat R-Line, Arteon R-Line dan SUV Tiguan Allspace serba baharu. Ketiga-tiga model dalam siri R Line ini dijangka mampu memberi impak yang besar khususnya Tiguan Allspace untuk segmen SUV Tempatan.
Passat R Line
Berbanding Passat Elegance, Passat R Line tampil lebih sporty dan mengambil inspirasi daripada model-model Volkswagen R. Ia merupakan model R-Line kedua ditawarkan VPCM selepas Golf R-Line yang dipasang tempatan dan ditawarkan pada harga bermula RM200,000.00.
Dipasangkan dengan bampar hadapan dan belakang R-Line baharu, ia juga dilengkapi dengan lencana sisi R-Line, kemasan krom dan rim aloi Verona bersaiz 19”. Untuk ruang dalaman pula, kemasan R-Line dapat dilihat dengan jelas menerusi penggunaan kulit Nappa hitam gayaan karbon pada tempat duduk, stereng dan pedal sports aluminium.
Passat R-Line dikuasakan enjin turbo 2.0TSI baharu, mampu menjana 190PS dan tork 320Nm yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar basah direct shift (DSG) 7-kelajuan baharu yang telah ditambah baik. Aspek keselamatan dipertingkatkan lagi melalui ciri Side Assist dengan jarak pengesanan 180 darjah sehingga 50 meter.
Ciri Rear Traffic Alert pula memberi amaran kepada pemandu apabila mengundur keluar dari ruang parkir jika terdapat kenderaan yang mendekati pada sudut 90 darjah. Dari aspek ketersambungan, Passat R-Line dilengkapi sistem infohibur Discover Pro Volkswagen bersama skrin sentuh bersaiz 9.2″ inci. Ciri-ciri kemudahan termasuklah kawalan suara, gestur, skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian dan Wireless App-Connect dengan Apple Car Play.
Passat R-Line didatangkan dalam enam warna. Warna metalik terdiri daripada biru (Aquamarine Blue), coklat (Tamarind Brown), kelabu (Manganese Grey) dan perak (Reflex Silver). Dua warna mutiara iaitu hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) turut ditawarkan tanpa sebarang penambahan harga.
Arteon R-Line
Reka bentuknya diserlahkan melalui garis bumbung yang lebih rendah, tingkap tanpa bingkai, cerun bahagian belakang yang bersambung hingga ke lampu belakang, sekali gus membuatkannya kelihatan lebih aerodinamik dan bergaya. Secara tidak langsung, ia memberikannya penampilan yang lebih mewah dan menyerlahkan rekaan sebuah fastback tersendiri. Elegan dan dinamik, Arteon turut menjanjikan ruang serta keselesaan luar biasa melalui rekaan seperti sebuah coupe itu.
Menggunakan sistem lampu utama LED sepenuhnya, lampu hadapan dilengkapi ciri Dynamic Cornering Lights. Sementara lampu belakang hadir dengan isyarat membelok berturutan. Arteon turut dilengkapi ciri All Weather Light, sejenis lampu khas yang menawarkan pencahayaan lebih luas untuk meningkatkan kejelasan pandangan berdasarkan keadaan cuaca. Ruang dalamannya menyerlahkan rasa sporty dan mewah. Penumpang hadapan pasti berpuas hati dengan keselesaan tempat duduk Ergo Comfort bersama 14 talaan dan lencana R-Line. Manakala pemandu pula boleh menikmati fungsi urutan.
Bagi penggemar audio, Arteon dipasang dengan sistem bunyi Dynaudio yang menawarkan pengalaman audio premium bersama 11-unit pembesar suara, amplifier digital 16 saluran, satu unit subwoofer dan kemewahan bunyi 700W. Ambien mewah itu ditambah dengan kemasan aluminium Silver Rise, pelapik bumbung hitam Titanium, jam analog dan lampu ambien tiga warna.
Arteon R-Line didatangkan dengan enjin turbo 2.0TSI dan kotak gear klac berkembar basah direct shift 7-kelajuan (DSG) yang telah ditambah baik. Ia mampu menghasilkan kuasa 190PS dan tork 320Nm untuk pengalaman pemanduan yang benar-benar dinamik. Lima warna ditawarkan: warna metalik ialah kelabu (Manganese Grey), kuning (Turmeric Yellow) dan perak (Pyrite Silver). Manakala warna mutiara ialah hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White Pearl). Ditawarkan pada harga RM220,043 dan hadir dengan penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.
Tiguan Allspace R Line
Ditawarkan dalam dua varian; Tiguan Allspace Highline 1.4TSI dan Tiguan Allspace R-Line 2.0TSI. Kedua-duanya dipasang tempatan di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang. Merupakan versi Tiguan dengan tapak roda lebih panjang, Allspace tampil dengan rekaan hadapan dan belakang yang tersendiri.
Menjadi model terlaris Volkswagen di peringkat global, Tiguan mencatat rekod apabila lebih 6 juta unit terjual pada tahun 2019. Ia juga merupakan model paling laris untuk kumpulan Volkswagen pada tahun yang sama. Kini, model serba baharu Tiguan keluar daripada saluran pengeluaran di seluruh dunia pada setiap 35 saat.
Tempahan dan pandu uji untuk ketiga-tiga model siri R Line ini boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.volkswagen.com.my.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ